Khamis, 9 Mei 2019 | 3:53pm

S P Setia catat untung RM52.83 juta

KUALA LUMPUR: S P Setia Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM52.83 juta dalam suku pertama berakhir 31 Mac 2019 berbanding RM61.49 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, pemaju hartanah itu berkata, hasilnya meningkat kepada RM864.91 juta daripada RM655.50 juta sebelum ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Khor Chap Jen berkata, kumpulan meraih jualan berjumlah RM718 juta pada suku kali ini dengan projek tempatan menyumbang RM678 juta atau 94 peratus daripada jumlah jualan.

Menurut beliau lagi, projek antarabangsa menyumbang RM40 juta dalam jualan.

“Walaupun pasaran hartanah masih terencat, terdapat permintaan yang kukuh bagi kediaman atas tanah daripada bakal pembeli yang ingin menetap di perbandaran yang mantap.

“Pelancaran Clarino, rumah teres dua tingkat berharga daripada RM649,000 dalam kawasan Alam Impian yang sudah matang pada Mac lalu, menerima sambutan yang menggalakkan selepas ia meraih kadar ambilan 98 peratus dalam tempoh hanya satu bulan,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.

Beliau menambah bahawa sikap 'tunggu dan lihat' terus diamalkan pembeli yang masih menunggu petunjuk positif untuk pasaran hartanah pulih kembali.

“Kami mempunyai banyak rancangan membabitkan pelbagai produk, kebanyakannya tertumpu kepada hartanah kediaman, kami akan membuat lebih banyak pelancaran sebaik saja pasaran mencerminkan pemulihan," katanya.

Untuk sebahagian baki tahun kewangan, kumpulan telah merancang pelancaran yang bernilai RM6.47 bilion secara keseluruhan, terutamanya di Lembah Klang (RM4.65 bilion) dan Johor (RM1.12 bilion).

Pelancaran utama yang dirancang di Johor adalah Setia Tropika, Bukit Indah Johor, Setia Eco Gardens dan Taman Industri Jaya. - BERNAMA

81 dibaca
Berita Harian X