Jumaat, 3 Mei 2019 | 6:10pm
Ketua Eksekutif Gamuda Land, Ngan Chee Meng (kiri) dan Ketua Eksekutif Skyline Enterprises, Geoff McDonald pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman Gamuda Land dan tujuh penyedia perkhidmatan di Gamuda Gardens. NSTP/Eizairi Shamsudin.

Gamuda Gardens sedia kemudahan aktiviti lasak

SUNGAI BULOH: Pemaju hartanah, Gamuda Land menjalin kerjasama dengan syarikat pelancongan dari New Zealand, Skyline Enterprises untuk membina kemudahan aktiviti lasak dikenali sebagai Luge di dalam projek perbandaran Gamuda Gardens.

Kemudahan Luge menawarkan aktiviti paling mengujakan di dunia iaitu Skyline Luge dan juga Skyline Zoom Zipline yang pertama kali ditawarkan di negara ini.

Dibina di atas bukit setinggi 30,000 meter persegi menghadap pemandangan hijau Gamuda Gardens, projek berkenaan merangkumi trek Skyline Luge sepanjang 600 meter yang direka dengan pusingan, lengkungan dan terowong manakala Skyline Zoom Ziplines pula membolehkan peminat aktiviti lasak untuk berlumba pada kadar kelajuan sehingga 80 kilometer sejam.

Mengulas mengenai kerjasama berkenaan, Ketua Eksekutif Gamuda Land, Ngan Chee Meng berkata pihaknya teruja kerana menjadi pilihan Skyline Enterprises bagi pengembangan operasi pertama bagi syarikat global berkenaan di negara ini.

“Kami yakin aktiviti Luge yang akan dibina pada ketinggian 45 meter akan menjadi tarikan utama di kawasan perbandaran yang dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM10.1 bilion ini,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Skyline Enterprises di Gamuda Gardens Experience Gallery di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Ketua Eksekutif Skyline Enterprises, Geoff McDonald.

Sementara itu, McDonald berkata Gamuda Gardens adalah lokasi yang tepat untuk menjalankan aktiviti Luge di bawah kendalian syarikatnya.

“Keunikan yang ada pada pembangunan ini, terutama pemandangan menakjubkan pada tahap tinggi membolehkan kami menawarkan pengalaman terbaik bagi aktiviti Luge dan Ziplines.

“Pembinaan kemudahan Luge dijangka memakan masa antara 18 bulan hingga dua tahun dan ia dijangka mula beroperasi pada suku kedua 2021,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Gamuda Land turut memeterai perjanjian dengan tujuh lagi rakan kongsi pada majlis yang sama.

Ia terdiri daripada pengendali sekolah antarabangsa, Beaconhouse; penyedia ruang, Wedding by Emma; penyedia kelengkapan aktiviti sukan, Ecocana Sports; Arena Legacy; Petron; Mr DIY dan juga Petron.

Semua wakil syarikat berkenaan hadir bagi menandatangani MoU terbabit.

Gamuda Gardens adalah projek perbandaran yang dilancarkan pada 2017 dan dibina di atas tapak seluas 327.7 hektar.

Ia mengandungi tujuh presint dan menawarkan pelbagai jenis unit kediaman dan ruang komersial.

112 dibaca
Berita Harian X