Khamis, 2 Mei 2019 | 11:53am
GAMBAR fail, Ketua Pegawai Eksekutif FAR Capital, Faizul Ridzuan pada Pameran Hartanah MyRumah yang julung kali dianjurkan The New Starits Times Press (M) Bhd di Balai Berita, Januari lalu. - Foto Rosela Ismail

Tawaran kurang sesuai punca rumah tidak laku

KUALA LUMPUR: Produk yang dibangunkan tidak menepati keperluan serta ditawarkan pada harga dan saiz yang salah adalah antara punca peningkatan jumlah rumah siap dibina yang tidak terjual.

Pengasas dan Pengarah Urusan FAR Capital Sdn Bhd, Faizul Ridzuan, berkata peningkatan rumah siap dibina yang tidak terjual berpunca daripada lambakan inventori bermula dari 2011 sehingga 2015.

Katanya, lambakan kediaman itu wujud disebabkan kesilapan maklumat oleh pemaju sehingga mereka mengeluarkan produk (hartanah) yang salah.

“Lambakan unit kediaman tidak terjual adalah berpunca daripada kesilapan perancangan pembinaan dalam tempoh enam hingga tujuh tahun lalu.

“Inventori hartanah pada ketika itu tidak masuk akal. Produk yang dikeluarkan tidak menepati keperluan, ditawar pada harga dan saiz yang salah. Itu adalah punca utama mengapa stok hartanah di negara kita tidak terjual,” katanya kepada BH.

Beliau yang juga penganalisis hartanah berkata, pembangunan hartanah yang dilancarkan pada tahun lalu dan tahun ini dijangka tidak berdepan masalah kerana ia ditawarkan mengikut permintaan pasaran, pada saiz yang tepat dan pakej yang menarik.

“Jadi, isu rumah tidak terjual ini bukan disebabkan pasaran dan institusi kewangan (bank) tetapi kesilapan daripada pemaju yang mengeluarkan produk tidak menepati keperluan.

“Pada masa ini, pemaju perlu terima ‘akibat’ daripada isu berkenaan dan seharusnya menjual hartanah berkenaan pada harga yang masuk akal (munasabah).

“Tidak perlu meletakkan harga kediaman seperti pangsapuri sehingga RM700,000 seunit, sedangkan nilai sama boleh didapati untuk membeli kediaman bertanah di kawasan berdekatan,” katanya.

Sementara itu, penganalisis hartanah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif ExaStrata Solutions Sdn Bhd, Adzman Shah Mohd Ariffin, berkata harga rumah telah mengalami kenaikan antara empat hingga lima kali ganda median pendapatan sejak 2015.

“Jurang di antara permintaan dan bekalan stok rumah kelihatan amat ketara seperti yang dilaporkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC). Bagaimanapun, pada ketika itu, pihak berwajib tidak mengambil tindakan mengawal stok dan sebaliknya mengenakan tindakan mengetatkan kelulusan pinjaman.

“Pada masa sama, pemaju masih meneruskan pelancaran projek baharu dan tidak mengendahkan data yang disediakan oleh NAPIC. Kebanyakan mereka tidak menyediakan kajian pasaran dan enggan menggunakan data sedia ada sebelum merancang pelancaran projek baharu.

“Malah, ada di kalangan pemaju dan persatuan tertentu menolak kebenaran data oleh NAPIC dan memberi gambaran seolah-olah pasaran tidak menghadapi sebarang masalah pada ketika itu,” katanya.

Menurut Laporan Pasaran Harta Tanah Malaysia 2018, unit kediaman siap dibina tidak terjual pada 2018 meningkat sebanyak 30.6 peratus kepada 32,313 unit bernilai RM19.86 bilion, manakala

unit kediaman dalam pembinaan belum terjual turut meningkat kepada 80,984 unit, meningkat 30.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

354 dibaca
Berita Harian X