Selasa, 30 April 2019 | 1:01pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - NSTP/Danial Saad

'Bincang semula kaedah penilaian hartanah'

KAJANG: Penilai hartanah awam dan swasta di Malaysia perlu mempunyai satu kaedah yang telus bagi mengurangkan jurang nilai hartanah yang dianggarkan kedua-dua pihak.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata jurang penilaian hartanah oleh pihak awam dan swasta ketika ini adalah besar yang boleh menimbulkan persepsi tidak baik, sekali gus menjejaskan keyakinan terhadap penilaian yang dibuat.

Justeru, beliau menyarankan perbincangan harus diadakan antara Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dan syarikat penilaian hartanah swasta bagi mencari kaedah terbaik.

“Saya percaya sekiranya boleh ada satu kaedah yang telus, kita boleh pastikan nilai yang diberikan tidak jauh berbeza supaya tiada pertikaian yang berlaku. Saya harap perkara ini dapat diseragamkan supaya boleh meyakinkan orang ramai terhadap penilaian yang dibuat oleh industri," katanya pada pelancaran Laporan Pasaran Harta Tanah Malaysia 2018 di sini, hari ini.

Guan Eng berkata, dari segi kaedah, ada sesetengah pihak berpendapat tidak boleh menggunakan  kaedah perbandingan, sebaliknya harus menggunakan kaedah lain iaitu penyusutan kos.

Justeru, beliau menyarankan supaya ia dibincang sebelum dimuktamadkan.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPPH, Sr Ahmad Zailan Azizuddin, berkata terdapat pelbagai kaedah penilaian dalam membuat penilaian hartanah.

Beliau berkata, penilaian di Malaysia menggunakan kaedah perbandingan, manakala kaedah penyusutan kos adalah kaedah terakhir digunakan kerana kos tidak sama dengan nilai.

“Kos dan nilai adalah berbeza, ia mungkin lebih tinggi daripada nilai atau lebih rendah daripada nilai,” katanya.

Sekiranya kaedah penilaian penyusutan kos mahu digunakan, Ahmad Zailan berkata, campur tangan kerajaan adalah perlu untuk pemaju hartanah mendedahkan kos sebenar pembangunan hartanah.

Beliau berkata, penilaian berdasarkan kaedah itu praktikal bagi menilai rumah mampu milik.

259 dibaca
Berita Harian X