Selasa, 30 April 2019 | 12:06pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng hadir pada pelancaran Laporan Pasaran Harta Tanah Malaysia 2018 di Kajang, hari ini. - Foto Azhar Ramli

Unit kediaman siap dibina tidak terjual terus meningkat

KAJANG: Unit kediaman siap dibina tidak terjual pada 2018 meningkat sebanyak 30.6 peratus kepada 32,313 unit bernilai RM19.86 bilion.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata unit kediaman dalam pembinaan belum terjual juga meningkat kepada 80,984 unit, meningkat 30.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, rumah kediaman bertingkat tinggi membentuk sebahagian besar unit tidak terjual mewakili 43.4 peratus dari jumlah keseluruhan.

“Kebanyakan rumah kediaman tidak terjual itu tertumpu di Perak sebanyak 2,905 unit dan Kuala Lumpur sebanyak 2,692 unit.

“Dari aspek harga pasaran, bacaan awalan Indeks Harga Rumah Malaysia berada pada paras 193.3 mata dengan perubahan tahunan sebanyak 3.1 peratus berbanding 2017," katanya pada pelancaran Laporan Pasaran Harta Tanah Malaysia 2018 di sini, hari ini.

Guan Eng berkata, pelancaran baharu sektor kediaman pada 2018 susut 14.9 peratus kepada 66,040 unit berbanding 77,570 unit pada 2017.

Beliau berkata, Kuala Lumpur dan Selangor mencatatkan pengurangan pelancaran baharu masing-masing sebanyak 56.1 peratus dan 9.9 peratus

Johor pula, katanya menunjukkan peningkatan 17.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Bagi subsektor komersial pula, jumlah transaksi untuk 2018 meningkat sebanyak 8.0 peratus kepada 23,936 unit, manakala nilai transaksi pula meningkat 16.0 peratus kepada RM29.5 bilion,” katanya.

Sementara itu, Guan Eng berkata isu ketidakpadanan, kemampuan dan kos hidup adalah antara faktor yang menyumbang kepada unit kediaman siap dibina tidak terjual serta belum terjual sejak beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, unit kediaman yang tidak terjual tidak semestinya bererti penawaran melebihi permintaan, justeru isu berkenaan perlu ditangani dengan teliti dan langkah holistik perlu dilaksanakan.

“Ia mengenai mencari lokasi yang betul, harga yang tepat, jenis yang tepat untuk memenuhi permintaan yang sesuai,” katanya.

Dalam masa sama, Guan Eng berkata sektor harta tanah tempatan dijangka pulih secara beransur-ansur tahun ini dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif baharu oleh kerajaan.

Beliau berkata, Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang sedang berlangsung ketika ini adalah antara inisiatif kerajaan yang akan menyokong pemulihan sektor berkenaan.

Katanya, walaupun sektor harta tanah mengalami kelembapan sejak beberapa tahun lalu, jumlah dan nilai transaksi pada 2018 masing-masing meningkat 0.6 peratus dan 0.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Ini adalah satu perkembangan yang memberangsangkan. Saya yakin sektor ini akan pulih secara beransur-ansur untuk tahun ini,” katanya.

 

264 dibaca
Berita Harian X