Isnin, 29 April 2019 | 1:40pm

Mitraland lancar kediaman Ashino di Gravit8

KLANG: Kumpulan Mitraland melancarkan menara kediaman keempat dan terakhir di Gravit8 iaitu Ashino, nama yang diilhamkan sempena Tasik Ashinoko yang terkenal di Jepun.

Selain itu, konsep dan reka bentuk kediaman Ashino juga mengikut kesukaan masyarakat Jepun yang mana terdapat unsur minimalis serta zen.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mitraland, Chuah Theong Yee, berkata kediaman Ashino mencerminkan aspek terbaik reka bentuk rumah Jepun dengan menawarkan rumah mewah dan tempat tinggal yang damai serta moden kepada pembeli.

“Menara kediaman Ashino membabitkan 280 unit kediaman dilengkapi enam binaan berbeza.

“Unit kediaman ini boleh didapati dengan keluasan 817 kaki persegi hingga 1,237 kaki persegi dengan pilihan bilik tidur 2+1 atau 3+1 untuk memenuhi keperluan keluarga,” katanya.

Theong Yee berkata, Ashino dijual pada harga bermula dari RM429,000 dan sehingga kini 30 peratus daripada 280 unit yang ditawarkan sudah dibeli.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan jualan unit sehingga 50 peratus selepas satu atau dua bulan dilancarkan dan 70 peratus selepas enam bulan.

“Mereka yang tinggal di Ashino juga boleh menikmati 1.2 hektar dek kemudahan dilengkapi bilik gim, kolam renang, dek yoga, ruang mesra kanak-kanak dan banyak lagi.

“Bagi aspek keselamatan pula, Ashino menggunakan sistem keselamatan tiga tingkat dengan sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan rondaan daripada pengawal keselamatan,” katanya.

Theong Yee berkata, lokasi Ashino di pusat pembangunan Gravit8 menjadikannya kediaman selesa untuk interaksi sosial kepada masyarakat setempat dan di sekitar Klang.

“Sebelum ini tiga menara kediaman pertama mendapat sambutan baik. Justeru, pihak kami berharap dengan harga yang berpatutan dan kemudahan yang komprehensif, Ashino akan menarik lebih ramai pembeli,” katanya.

Gravit8 adalah pembangunan bersepadu dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.3 bilion membabitkan pangsapuri servis, kedai runcit khusus, pusat beli-belah, pejabat korporat, pejabat kecil atau pejabat versatil (SoVos) serta sebuah hotel butik mempunyai 150 hingga 200 bilik.

Gravit8 turut dilengkapi tasik buatan yang menakjubkan dikenali sebagai Taman Tasik Rekreaksi@Gravit8 seluas tiga hektar.

Taman tasik itu mendapat sentuhan Walrus Design, sebuah arkitek landskap yang memenangi pelbagai anugerah dengan menggabungkan unsur estetika dan urbanisasi golongan muda.

113 dibaca
Berita Harian X