Ahad, 21 April 2019 | 3:01pm
Pengarah Eksekutif LBS Bina Group Bhd, Datuk Joey Lim Hock Guan (empat dari kiri) bergambar dengan artis, Ernie, Masya Masyitah, Syamel, Usop dan Sufi pada Majlis Pelancaran Video Muzik "Seru Hari Lebaran" dalam album "Sempurna Seadanya" sempena Karnival Jom Blossom di Kita@CyberSouth. NSTP/Aizuddin Saad.

LBS Bina sasar sambutan hangat Kita Harmoni

DENGKIL: LBS Bina Group Bhd (LBS Bina) menyasarkan tempahan memberangsangkan bagi Kita Harmoni, projek pembangunan Fasa 3 di Kita@Cybersouth yang dilancarkan pada 9 April lalu.

Pengarah Eksekutif Kumpulannya, Datuk Joey Lim Hock Guan, berkata keyakinan itu disandarkan kepada sambutan baik yang diterima bagi pelancaran Fasa 1 dan Fasa 2 November lalu.

"Fasa 1 yang terdiri daripada 379 unit rumah teres dua tingkat habis dijual, manakala Fasa 2 yang merangkumi 698 unit rumah bandar lebih 40 peratus dijual.

"Bersandarkan sambutan baik orang ramai ke atas dua pelancaran sebelum ini, saya berkeyakinan tempahan penuh bakal di raih Kita Harmoni tahun ini," katanya pada majlis pelancaran album Hari Raya Rocketfuel di Dengkil.

Kita Harmoni merangkumi 674 unit rumah teres dua tingkat berukuran 20 kaki persegi x 65 kaki persegi dijual pada harga bermula RM560,000.

Memandangkan projek dibangunkan di tanah rizab Melayu, ia hanya dijual kepada pembeli Melayu.

Dalam usaha mempromosi dan memupuk ikatan siratulrahim menjelang kedatangan Ramadan disusuli sambutan Hari Raya Puasa, LBS Bina menghulurkan sokongan kepada Astro dan Rocketfuel Entertainment Sdn Bhd (Rocketfuel) dalam pelancaran album Hari Raya bertajuk Sempurna Seadanya.

Album istimewa Hari Raya 2019 itu menampilkan 10 lagu termasuk lima lagu baharu disampaikan artis terkemuka tanah air seperti Syamel, Ernie Zakri, Usop, Masya Masyitah, Zizan Razak, Hael Husaini, Azhael, Iqbal, Adira dan Hazama Ahmad Azmi.

Pada pelancaran album itu di galeri jualan Kita@Cybersouth, peminat berkesempatan menyaksikan video muzik Seru Hari Lebaran.

Menurut LBS Bina, penajaan itu sejajar misi syarikat untuk mewujudkan persekitaran kehidupan inklusif yang membolehkan penduduk membina ikatan siratulrahim yang berkekalan.

Dibangunkan di atas tiga tunggak iaitu mampu milik, hubungan dan komuniti, perumahan Kita@Cybersouth bakal memenuhi permintaan kediaman moden yang berkualiti dan mampu dimiliki.

Kita@Cybersouth adalah perbandaran seluas 256 hektar berpagar dan dikawal sepenuhnya, menawarkan pelbagai jenis kediaman, termasuk rumah teres, rumah bandar, pangsapuri khidmat, kedai dan unit komersial.

Setiap kediaman direka bagi memenuhi kehidupan yang berfungsi dan selesa.

Kita@Cybersouth mudah diakses melalui lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya melalui Lebuhraya Elite, Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Utara-Selatan (NKVE), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Jalan Dengkil-Banting.

Ia juga terletak di sekitar kemudahan awam, termasuk sekolah dan institusi pengajian tinggi antarabangsa dan tempatan seperti Sekolah Kebangsaan Dengkil, Sekolah Menengah Kebangsaan Cyberjaya, Heriot-Watt University Malaysia, Limkokwing University dan Xiamen University.

Maklumat lanjut berhubung Kita@Cybersouth boleh didapati di www.lbs.com.my atau hubungi 1700 81 8998.

Berita Harian X