Selasa, 16 April 2019 | 4:56pm
SEING Liong (tiga dari kiri) bersama Ahli Jawatan Kuasa Expo Hartanah Malaysia 2019 pada sidang media Expo Hartanah Malaysia 2019 yang akan berlangsung di Midvalley pada 26-28 April. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Lebih 17,000 unit hartanah ditawar pada HOC-MAPEX

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) bakal menawarkan 17,420 unit hartanah kediaman dan komersial bernilai kira-kira RM147 juta sempena penganjuran Kempen Pemilikan Rumah-Ekspo Hartanah Malaysia 2019 (HOC-MAPEX) pada hujung bulan ini.

Pengerusi Penganjur HOC-MAPEX 2019, Datuk Ng Seing Liong, berkata 72 pemaju hartanah swasta akan mempamerkan pembangunan hartanah masing-masing yang bukan saja terletak di sekitar Lembah Klang malah di seluruh negara seperti Johor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Pulau Pinang.

Menurutnya, ekspo itu juga bakal menyaksikan pembabitan tujuh institusi kewangan termasuk Maybank, CIMB Bank, Hong Leong Investment Bank, Public Bank, RHB Bank dan United Overseas Bank.

“Acara kali ini lebih istimewa di mana ini adalah kali pertama untuk tujuh institusi kewangan akan mengambil bahagian dan kami berharap lebih banyak bank dan penyedia kewangan akan terus menyokong usaha kami untuk acara ini yang memiliki potensi jualan yang baik,” katanya pada sidang media HOC-MAPEX 2019 di sini, hari ini.

HOC-MAPEX 2019 bakal berlangsung di Pusat Pameran MidValley, Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 April ini dan mula dibuka pada jam 10 pagi hingga 9 malam sepanjang tiga hari itu.

Ia akan dirasmikan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Selain pemaju dan institusi kewangan, terdapat penyertaan agensi kerajaan seperti Kementerian Wilayah Persekutuan melalui RUMAWIP, Lembaga Perumahan Hartanah Selangor, Jabatan Perumahan Negara, Tribunal Pengurusan Perumahan dan Strata, Lembaga Pembiayaan Rumah Sektor Awam, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sementara itu, REHDA kekal yakin Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang berlangsung dari Januari hingga Jun tahun ini akan mencapai sasaran jualan antara RM3 bilion hingga RM4 bilion.

Presidennya, Datuk Soam Heng Choon, berkata pendaftaran untuk projek di bawah HOC masih dilakukan oleh pemaju hartanah dan pihaknya kini sedang menyelaraskan angka-angka terbabit.

“Setakat ini, kami sudah mendaftarkan 70 projek yang membabitkan pembinaan sebanyak 5,000 unit hartanah di bawah HOC dan melihat jumlah ini mungkin bertambah ekoran masih ramai pemaju utama di luar Lembah Klang masih tidak didaftarkan,” katanya.

Bermula 19 Mac lalu, insentif untuk pembeli yang membeli hartanah berdaftar di bawah HOC adalah pengecualian duti setem untuk perjanjian pembiayaan bagi hartanah yang berharga sehingga RM2.5 juta dan pengecualian duti setem bagi Memorandum Pemindahan (MoT) bagi hartanah di bawah RM1 juta

Selain itu, pengurangan satu peratus duti setem bagi hartanah berharga RM1 juta hingga RM2.5 juta kepada tiga peratus berbanding empat peratus pada masa ini.

Hartanah yang layak berada di bawah HOC ini termasuk yang siap dibina atau dalam pembinaan dan ia terbuka untuk dijual kepada semua pembeli rumah warga Malaysia termasuk pembeli kali pertama.

107 dibaca
Berita Harian X