Khamis, 14 March 2019 | 1:59pm
Kempen Pemilikan Rumah (HOC 2019) catat jualan RM285 juta dalam masa tiga hari.

Sentimen pembeli hartanah kembali pulih - REHDA

PETALING JAYA: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menjangkakan jualan hartanah yang lebih baik pada separuh kedua tahun ini, selepas mengambil kira sentimen positif dalam pasaran hartanah ketika ini.

Presidennya, Datuk Ir Soam Heng Choon, berkata Kempen Pemilikan Rumah (HOC 2019) yang dilancarkan pada Januari lalu dilihat menjadi pencetus apabila lebih ramai pembeli mengunjungi galeri pameran yang disediakan oleh pemaju hartanah bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai kediaman impian mereka.

“Dengan adanya pelbagai insentif yang ditawarkan menerusi HOC 2019, kami yakin pembeli akan mengambil peluang untuk membeli rumah dalam tempoh enam bulan kempen itu berlangsung. Selain itu, kami juga yakin dapat mencapai sasaran jualan sebanyak RM3 bilion sepanjang HOC 2019 berlangsung hingga Jun ini.

“Pada ekspo hartanah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur awal bulan ini, kami berjaya mencatat jualan bernilai RM285 juta sepanjang tiga hari ia diadakan,” katanya pada sidang media selepas Sesi Penerangan mengenai tinjauan industri hartanah di sini, hari ini.

HOC dianjurkan sebagai antara komitmen kerajaan untuk memastikan penyediaan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki selaras dengan Dasar Perumahan Negara yang dilancarkan pada 28 Januari lalu.

Selain REHDA, rakan strategik kementerian yang juga terbabit dalam penganjuran HOC termasuk PR1MA, Permodalan Nasional Bhd (PNB), Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dan UDA Holdings Bhd (UDA).

Mengulas mengenai sektor hartanah pada separuh kedua 2018, Heng Choon berkata menerusi tinjauan yang dibuat terhadap 121 pemaju hartanah di negara ini, responden dengan unit tidak terjual susut kepada 62 peratus berbanding 75 peratus pada separuh pertama 2018.

Beliau berkata, kesukaran mendapatkan pembiayaan masih menjadi punca utama unit rumah tidak boleh dijual.

“Selain itu, faktor unit Bumiputera yang tidak dilepaskan dan permintaan atau minat yang rendah terhadap kediaman yang dijual turut menjadi punca berlakunya unit rumah tidak terjual,” katanya.

112 dibaca
Berita Harian X