Selasa, 26 Februari 2019 | 5:48pm
Pengerusi REHDA Selangor, Zulkifli Garib. Foto NSTP/Amirudin Sahib.

Kempen Pemilikan Kediaman pacu pasaran hartanah

PETALING JAYA: Inisiatif kerajaan dalam melaksanakan Kempen Pemilikan Kediaman (HOC) selama enam bulan berakhir Jun ini bakal memacu pasaran hartanah tempatan.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Selangor, Zulkifly Garib, berkata perlaksanaan inisiatif berkenaan dijangka memberi kesan positif kepada pasaran yang ketika ini mendatar.

"Kami menyokong inisiatif ini kerana membuka ruang kepada pembeli memiliki kediaman dengan diskaun minimum 10 peratus daripada pemaju dan sifar duti setem untuk dokumentasi pinjaman dan memorandum tukar hak milik (MOT) bagi kediaman berharga RM1 juta ke bawah.

"Ia secara jelas mengurangkan bebanan kewangan pembeli dan membolehkan pemaju menjual unit kediaman," katanya pada sidang media Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2019 Zon Klang/Shah Alam di sini, hari ini.

Awal bulan ini, kerajaan bersetuju memberi pengecualian duti setem bagi surat cara pembelian rumah dan surat cara perjanjian pinjaman untuk rumah yang dijual sepanjang tempoh HOC diadakan dari Januari hingga Jun ini.

Mengenai MAPEX 2019 Zon Klang/Shah Alam, Zulkifly berkata, sebanyak 16 syarikat pemaju dan institusi kewangan akan menyertai pameran hartanah yang berlangsung di Setia City Mall, Setia Alam dari 8 hingga 10 Mac ini.

"MAPEX 2019 Zon Klang/Shah Alam akan menawarkan pelbagai kediaman bernilai RM298,000 ke atas termasuk unit apartmen servis, teres, kondominium, banglo dan SoHo Suites di sekitar Setia Alam, Kota Kemuning, Bandar Bukit Tinggi, Puncak Alam dan Rawang,” katanya.

Antara pemaju yang bakal menyertai MAPEX 2019 Zon Klang/Shah Alam ialah Mah Sing Group Bhd, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Titijaya Land Bhd, WCT Bhd, Sunsuria City Sdn Bhd, Golden Land Bhd dan Low Yat Holdings (M) Sdn Bhd.

101 dibaca
Berita Harian X