Isnin, 25 Februari 2019 | 3:26pm
SOAM Heng Choon (tengah) pada Ekspo Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2019. - Foto Amirudin Sahib

Ekspo Kempen Pemilikan Rumah tawar 17,348 unit kediaman

PETALING JAYA: Sebanyak 25 pemaju mengesahkan akan menawarkan kira-kira 17,348 unit rumah yang dianggarkan bernilai RM11.8 bilion pada Ekspo Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2019.

Ekspo yang akan berlangsung pada 1 hingga 3 Mac depan bakal menawarkan rumah berharga di bawah RM300,000, sekali gus menjadi peluang terbaik kepada orang ramai memiliki rumah.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Ir Soam Heng Choon berkata, ekspo hartanah yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut disertai lebih 50 syarikat pemaju terkemuka.

“Sebahagian pemaju masih lagi menyemak dan menyusun jumlah unit hartanah yang dirancang untuk dijual pada ekspo hartanah yang akan berlangsung pada hujung minggu ini.

“Kebanyakan unit rumah pada ekspo ini adalah projek di sekitar Lembah Klang yang membabitkan rumah siap dan projek yang sedang dibangunkan, sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada pembeli.

“Dengan tawaran harga rumah yang berbeza, ekspo kali ini memenuhi keperluan pelbagai peringkat kumpulan pendapatan, sama ada rendah, sederhana mahupun tinggi,” katanya pada sidang media ekspo itu di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Ekspo HOC 2019, Datuk NK Tong.

Ekspo hartanah itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada hari pertama.

Soam berkata, selain pemaju, ekspo itu akan disertai oleh lima institusi kewangan seperti Maybank, RHB Bank, Public Bank, Hong Leong Bank dan Standard Chartered Bank bagi membantu memudahkan urusan transaksi semakan dan pembelian.

“Pavilion Kerajaan juga akan diwujudkan yang akan menampilkan projek oleh KPKT, Perbadanan PR1MA Malaysia, Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB), Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan UDA Holdings Bhd,” katanya.

Selain itu, ekspo itu turut mengadakan sesi sembang hartanah bersama pakar industri seperti Faizul Ridzuan dan Ahyat Ishak yang akan memberi perkongsian dalam dunia hartanah tempatan.

194 dibaca
Berita Harian X