Isnin, 18 Februari 2019 | 9:01am
Pemandangan The Exchange TRX dari atas. - Foto ihsan Lendlease
The Exchange TRX akan menyediakan dan menawarkan lebih 500 kedai, hospitaliti dan gaya hidup. - Foto ihsan Lendlease

Lendlease lancar pembangunan bersepadu di TRX, terbesar di Asia

KUALA LUMPUR: Lendlease, kumpulan hartanah dan infrastruktur antarabangsa terkemuka melancarkan pembangunan bersepadunya di pusat kewangan antarabangsa Tun Razak Exchange (TRX), sekali gus menjadikan ia pembangunan bersepadu terbesar konglomerat itu di Asia.

Berpangkalan di Sydney, Australia, Lendlease kini sedang membangunkan ‘The Exchange TRX’ seluas 6.9 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM9.31 bilion.

Blok pembangunan ‘The Exchange TRX’ yang terdiri dari hotel mewah, pusat beli-belah, menara residensi dan menara pejabat, juga menghubungkan taman bandar atas bumbung yang pertama di Kuala Lumpur dengan keluasan 4.05 hektar.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Lendlease Group, Tony Lombardo, projek ini merupakan peluang bagi Lendlease untuk membawa Malaysia dan rantau ini ke dalam satu konsep baru dalam pembangunan bercampur selain mempromosikan pemuliharaan dan penggunaan sumber yang mampan.

“Melalui reka bentuk dan aset pembangunan bercampur yang merangkumi pusat beli-belah, menara residensi dan taman bandar, The Exchange TRX menawarkan destinasi pengalaman gaya hidup dan mewujudkan komuniti yang rapat dan inklusif.

“Lendlease teruja untuk menjadi sebahagian daripada pembangunan mercu tanda Malaysia ini.

Beliau menambah, pembangunan ini melambangkan keupayaan syarikat kami dalam mewujudkan destinasi terbaik dan menyediakan kepakaran berkualiti di Malaysia.

Bakal membawa ‘pengalaman ekonomi’ yang terbaik, dijangka mencapai perbelanjaan global mencecah AS$8.2 trilion (RM33.51 trilion) menjelang 2028.

The Exchange TRX akan menggabungkan konsep pengalaman runcit dan hiburan bagi mencipta destinasi sosial menerusi kerjasama runcit yang terdiri dari lebih 500 kedai yang akan menawarkan format kedai baru serta jenama-jenama kepada pasaran.

Pengalaman unik yang dipacu oleh destinasi runcit ini juga akan disepadukan dengan taman awam seluas 4.04 hektar yang menawarkan ruang hijau, acara komuniti dan seni, kemudahan permainan kanak-kanak serta ruang makan dalam taman.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd, Datuk Azmar Talib, yang turut hadir pada pelancaran itu berkata, TRX Residences menawarkan alamat yang paling diidamkan di Kuala Lumpur di mana pemilik rumah dan pelabur akan tertarik dengan skala ikoniknya, kemudahan eksklusif dan kehidupan berkomuniti dengan sambungan langsung taman seluas 4.04 hektar.

“Direka dengan penekanan terhadap aspek kemapanan, kemudahan sambungan, pembabitan komuniti dan kehidupan pintar, TRX Residences bakal membawakan gaya hidup bandar bertaraf dunia di Malaysia.

“Dengan adanya jaringan kemudahan yang terbaik dari rangkaian MRT (Mass Rail Transit) dan jalan raya, akses kepada pusat beli-belah, rekaan unik serta restoran dan ruang hiburan yang disediakan di The Exchange, TRX, penduduk mempunyai peluang untuk tinggal di lokasi terkemuka di Kuala Lumpur,” katanya.

Galeri TRX Residences Discovery Experience akan dibuka untuk pratonton pada suku kedua tahun ini.

12100 dibaca
Berita Harian X