Khamis, 31 Januari 2019 | 4:02pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng pada sidang media mengenai insentif untuk HOC 2019 di Wisma REHDA. - Foto Rohanis Shukri

Pengecualian duti setem, diskaun sepanjang kempen pemilikan rumah

PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju untuk memberi pengecualian duti setem bagi surat cara pembelian rumah dan surat cara perjanjian pinjaman untuk rumah yang dijual sepanjang tempoh kempen pemilikan rumah (HOC) diadakan dari Januari hingga Jun ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata bagi surat cara pembelian rumah, duti setem untuk rumah berharga RM1 juta akan dikecualikan sepenuhnya manakala tiga peratus bagi rumah berhaga dari RM1,000,001 hingga RM2.5 juta.

Katanya, surat cara perjanjian pinjaman juga diberikan pengecualian sepenuhnya sepanjang tempoh enam bulan ini bagi rumah berharga dari RM300,000 hingga RM2.5 juta ke bawah, berbanding kadar 0.5 peratus yang dikenakan ketika ini.

Selain itu, beliau berkata pemaju juga telah bersetuju untuk memberi diskaun sekurang-kurangnya 10 peratus kepada rumah yang dijual dalam HOC ini.

“Namun, kita harapkan pemaju akan boleh memberi diskaun yang lebih tinggi sama ada 15 ke 20 peratus untuk menarik lebih ramai pembeli. Tawaran ini hanya sah untuk rakyat Malaysia, bagi jualan yang dimuktamadkan di antara Januari sehingga Jun 2019 untuk projek perumahan yang diberikan diskaun sekurang-kurangnya 10 peratus dan disahkan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).

"Insentif ini adalah tindakan lanjutan oleh kerajaan selepas memberikan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap bahan binaan utama seperti batu bata, simen dan pasir dan juga perkhidmatan pembinaan. Inisiatif-inisiatif ini bertujuan untuk mengurangkan harga jualan rumah kecuali rumah harga terkawal (berharga RM300,000 ke bawah), sama ada yang sudah sedia dibina atau rumah baharu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai insentif untuk HOC 2019 di Wisma REHDA di sini, semalam.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah; Presiden REHDA, Datuk Soam Heng Choon dan Pengerusi Jawatankuasa Pengajura HOC, Datuk NK Tong.

REHDA dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menganjurkan ekspo hartanah besar-besaran sepanjang HOC di seluruh negara bagi menjual lebih 22,000 unit rumah yang tidak terjual.

Ekspo itu akan diadakan pada 1 Mac ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur selama tiga hari untuk kawasan Lembah Klang yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada hari pertama.

Dianggarkan lebih 100 pemaju akan mengambil bahagian membabitkan RM5 bilion nilai rumah yang akan dipamerkan untuk dijual dalam ekspo terbabit pada awal Mac ini.

Ekspo di Pulau Pinang akan diadakan pada 7-10 Februari ini; Alor Setar (1-4 Mac); Sungai Petani (21-24 Mac); Melaka (19-24 Mac); Kota Bharu (28-30 Mac); Kuantan (12-14 April) dan Kota Kinabalu pada 1-3 Mac ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, KN Jayaselan, berkata KPKT membenarkan pemaju untuk mengiklankan tawaran berupa barangan percuma kepada pembeli sebagai langkah untuk menarik minat pelanggan sepanjang HOC ini.

"Antara yang dibenarkan ialah seperti kabinet dapur, kabinet pakaian, perabot, perkakasan elektrik dan caj guaman. Promosi ini juga dibenarkan untuk diadakan selama setahun bermula awal tahun ini, kerana tidak semua pembeli akan terus berpindah masuk ke rumah dan kerana itu kita lanjutkan lagi tempoh selama enam bulan selepas HOC berakhir Jun ini," katanya.

Dalam pada itu Jayaselan berkata, terdapat 3,384 unit rumah berharga RM150,000 yang tidak terjual di seluruh negara setakat ini dan akan turut dijual dalam ekspo perumahan HOC.

1402 dibaca
Berita Harian X