Sabtu, 12 Januari 2019 | 3:12pm
KETUA Pegawai Eksekutif Linbaq, Datuk Wira Ling Kah Chok (tiga dari kanan) bersama Ketua Pegawai Operasi Linbaq, Brendon Yeo (dua dari kiri); Ahli Lembaga Pengarah Linbaq, Prof Datuk Dr Wong Lai Sum (tiga dari kiri) dan Ahli Lembaga Pengarah, Mohamad Jaifuddin Bujang Mohidin (dua dari kanan) hadir pada majlis perasmian Galeri Jualan Linbaq di Taman Abad, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

Linbaq labur lebih RM3 bilion di Iskandar Malaysia

JOHOR BAHRU: Pemaju hartanah, Linbaq Holding Sdn Bhd (Linbaq), komited membangunkan tiga projek utama dalam kawasan wilayah pembangunan Iskandar Malaysia dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM3.4 bilion.

Ketua Pegawai Operasinya, Brendon Yeo, berkata tiga projek berkenaan akan dibangunkan di pusat bandar raya ini iaitu Taman Abad, Ulu Tiram dan Senai.

Katanya, projek sulung syarikat itu di Taman Abad membabitkan pembangunan semula bangunan hotel lama di tapak seluas 0.96 hektar.

“Kawasan tapak ini akan dibangunkan semula dengan pembangunan bercampur membabitkan pangsapuri perkhidmatan, hotel dan ruang kedai dengan GDV bernilai RM800 juta.

“Linbaq komited untuk mengubah landskap di kawasan Taman Abad bersesuaian dengan gaya hidup moden hari ini, pada masa sama mengekalkan nilai nostalgia di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Galeri Jualan Linbaq di Taman Abad di sini, hari ini.

Pada majlis itu, turut diadakan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) kerjasama antara dua syarikat bagi menjayakan pembangunan dirancang Linbaq.

Perjanjian pertama membabitkan kerjasama dengan Taiwan Carton King bagi membina taman tema berkonsepkan kertas yang pertama di Asia Tenggara dengan nilai pelaburan berjumlah RM10 juta.

MoU seterusnya membabitkan kerjasama Linbaq bersama AccorHotels bagi merealisasika projek pembinaan Hotel Novotel.

450 dibaca
Berita Harian X