Rabu, 9 Januari 2019 | 6:59pm
Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd, Datuk Azmar Talib (lima dari kiri) pada majlis pelancaran projek hartanah CORE Precious Development Sdn Bhd di Tun Razak Exchange (TRX).

CORE Precious Development lancar hartanah kediaman di TRX

KUALA LUMPUR: CORE Precious Development Sdn Bhd (CORE Precious Development) melancarkan projek hartanah terbaharunya di hab kewangan antarabangsa Tun Razak Exchange (TRX).

Pelancaran projek kediaman terbaharu itu, sekali gus menjadi permulaan kepada projek pembinaan pada Januari tahun ini.

Pengarah Urusannya, Frank Feng, berkata melalui projek terbaharu itu, CORE Precious Development yakin dapat membantu TRX untuk mencapai matlamatnya sebagai pusat kewangan dan hab perniagaan global.

“Kami berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada pembangunan di TRX dengan pembabitan kami menerusi pembangunan kediaman.

“Sebagai pelabur antarabangsa, visi kami adalah untuk bekerjasama dengan TRX City dan pemegang saham dalam usaha mentransformasikan TRX sebagai pusat kewangan bertaraf dunia di rantau ini.

“Matlamat kami juga adalah untuk mewujudkan gaya hidup masyarakat serba moden menerusi pelaksanaan projek mega itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pelancaran pecah tanah projek residensi itu dijalankan di ibu negara semalam dan dihadiri beberapa pegawai pengurusan termasuk daripada TRX City Sdn Bhd; China Communications and Construction Group (CCCG) dan WCT Holdings Bhd.

Hadir sama Pengerusi CCCG Real Estate Group, Zhao Hui dan Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd, Datuk Azmar Talib.

Pembangunan kediaman berkenaan terdiri daripada dua menara kediaman berservis dan satu menara pangsapuri servis, yang mana ia adalah pertama seumpamanya di sekitar TRX.

Projek berkenaan yang dijadualkan siap menjelang akhir 2022, dibangunkan menerusi penekanan kepada konsep gaya hidup serba moden yang mampu memenuhi keperluan golongan profesional kewangan dan ekspatriat.

Ia terdiri daripada 700 komponen kediaman, dengan pilihan unit campuran yang mampu memenuhi keperluan dan gaya hidup kumpulan yang disasarkan selain komuniti perniagaan setempat.

Turut ditawarkan unit suite perniagaan serba selesa dilengkapi pelbagai kemudahan seperti ruang meditasi, gimnasium, barisan taman dan kolam yang mengetengahkan keunikan serta kesesuaian gabungan bagi tujuan perniagaan dan santai.

Sebelum ini, kerajaan mengambil langkah untuk meneruskan pembangunan TRX dan ia dilihat dapat meningkatkan keyakinan pelabur untuk terus melabur ke dalam projek yang dianggarkan bernilai RM40 bilion itu.

209 dibaca
Berita Harian X