Jumaat, 4 Januari 2019 | 12:24pm
Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San. Foto NSTP/Eizairi Shamsudin.

LBS sasar jualan RM1.5 bilion

KUALA LUMPUR: LBS Bina Group Bhd (LBS), pemaju perbandaran terkemuka menyasarkan jualan bernilai RM1.5 bilion tahun ini, meskipun berdepan prospek pasaran mencabar.

Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San, berkata sasaran itu mampu dicapai didorong strategi penawaran produk yang betul menerusi pelancaran beberapa  projek hartanah terbaharunya.

"Di Lembah Klang kami menyasarkan tiga pelancaran baharu iaitu Cybersouth; Residensi Bintang Bukit Jalil dan LBS Alam Perdana yang membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan sebanyak RM1.61 bilion.

"Bagi ketiga-tiga projek berkenaan, kami menjangkakan ia mampu menyumbang kepada nilai jualan RM1.2 bilion," katanya dalam taklimat media prestasi dan tinjauan LBS 2019, di sini, hari ini.

Selain itu katanya, LBS juga bakal  melancarkan pembangunan hartanah di Johor, iaitu Laman Bayu yang merangkumi 231 unit kediaman kluster dua tingkat membabitkan GDV RM85 juta.

"Turut dibangunkan projek Taman Kinding Flora di Perak yang menawarkan unit kluster satu tingkat  dengan GDV berjumlah RM127 juta," katanya.

Untuk tahun ini, beliau berkata LBS akan terus memfokuskan kepada pembangunan hartanah mampu milik bagi memenuhi keperluan permintaan yang tinggi.

"Kami terus menawarkan unit kediaman berharga RM300,000, RM400,000 dan RM500,000 bagi memberi lebih banyak pilihan harga mampu milik kepada pembeli.

"Ia juga sebagai usaha dan strategi kumpulan untuk berdepan persekitaran ekonomi mencabar, prospek pasaran yang lemah dan isu pembatalan 50 peratus pembelian tahun lalu sehingga menyebabkan lambakan unit tidak terjual," katanya.

Mengulas prestasi tahun lalu, Hock San berkata, LBS masih mampu mengekalkan trend pertumbuhan  yang terus meningkat dengan peningkatan jualan melebihi RM1.4 bilion pada 2017 kepada lebih RM1.5 bilion untuk 2018.

"Ini menandakan LBS mampu mencapai peningkatan selama empat tahun berturut dari 2014 hingga 2018 dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR)  sebanyak 25 peratus.

"Kami juga terus merekodkan prestasi baik dalam menawarkan produk yang memenuhi keperluan pembeli rumah, pada masa dan lingkungan harga tepat," katanya.

Saham LBS berada pada 64 sen pada 12.19 tengah hari ini.

Berita Harian X