Isnin, 24 Disember 2018 | 4:28pm
Pengarah Eksekutif Kumpulan Bina Puri Holdings Bhd, Datuk Matthew Tee. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Bina Puri tangguh hasrat miliki IHP

SELAYANG: Bina Puri Holdings Bhd (Bina Puri) terpaksa menangguhkan hasrat untuk memiliki sebahagian besar ekuiti dalam Ideal Heights Properties Sdn Bhd (IHP) berikutan tidak berjaya mendapatkan undian majoriti bagi resolusi terbabit.

Situasi itu menyaksikan syarikat pembinaan terbabit berdepan rintangan untuk mendapatkan persetujuan 75 peratus pemegang sahamnya bagi meluluskan cadangan pindaan kepada memorandum dan artikel persatuan Bina Puri (cadangan pindaan) bagi memudahkan penerbitan saham utama yang digunakan untuk membayar sejumlah RM42,682,343 juta bagi kos cadangan pemilikannya.

Pengarah Eksekutif Kumpulannya, Datuk Matthew Tee, berkata Bina Puri hanya memperolehi persetujuan 56 peratus pemegang sahamnya bagi meluluskan resolusi cadangan pindaan itu sekali gus menyebabkan mereka terpaksa membawa lembaga pengarah untuk mengadakan perbincangan dengan bank pelaburan bagi menyelesaikan situasi terbabit.

“Walau apa pun, situasi ini tidak menjejaskan pendapatan syarikat memandangkan segmen perniagaan utama kami adalah pembinaan dan kami tetap akan terus berusaha untuk merealisasikan cadangan pemilikan ini pada masa depan,” katanya pada media selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) Bina Puri di Selayang, hari ini.

Bina Puri bercadang memiliki 54.50 peratus kepentingan ekuiti dalam IHP bagi pertimbangan pembelian keseluruhan bernilai RM42,682,343 juta di mana langkah itu akan menjadikan pegangan ekuiti syarikat itu akan bertambah kepada 66.50 peratus selepas proses ini berakhir berbanding hanya 12 peratus pada masa ini.

IHP dan anak syarikat serta syarikat bersekutunya (IHP Group) terbabit secara langsung dalam pembangunan hartanah, pengurusan projek, pengurusan hartanah dan operasi perlombongan.

Syarikat ini turut terbabit dalam pembangunan projek Kuantan Waterfront Resort City (KWRC) dengan tempoh pembangunan sekurang-kurangnya 17 tahun.

Beliau berkata, cadangan pemilikan IHP itu selari dengan pelan jangka panjang Bina Puri bagi meluaskan perniagaan pembangunan hartanahnya sekali gus menjadi pemain hartanah terkemuka di negara ini.

“Pemilikan ini akan menyaksikan IHP menjadi anak syarikat kepada Bina Puri Properties Sdn Bhd (BPPSB) dan anak syarikat tidak langsung kepada Bina Puri pada masa depan,” katanya.

220 dibaca
Berita Harian X