Khamis, 13 Disember 2018 | 5:25pm
Menteri Besar, Aminuddin Harun (tiga dari kiri) bersama Pengerusi Sime Darby Property Bhd,Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz(dua dari kanan) melancarkan simbolik plan pembangunan Malaysia Vision Valley 2.0 pada majlis perasmian Malaysia Vision Valley 2.0 di Royal Chulan Seremban. - Foto Hazreen Mohamad

Sime Darby Property Berhad pemaju induk MVV 2.0

SEREMBAN: Sime Darby Property Berhad (Sime Darby) merancang membangunkan taman berteknologi tinggi dan perindustrian di Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) menjelang 2020.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata ketika ini syarikat itu memiliki tanah berkeluasan 1,148 hektar di kawasan pembangunan MVV 2.0.

Katanya, syarikat itu akan melaksanakan projek berkenaan sebagai pemaju induk yang membolehkan mereka memaju dan meningkatkan nilai simpanan tanah di kawasan itu.

“Kami akan mengusahakan projek utama yang bakal menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial negara pada masa depan.

“Sime Darby akan memainkan peranan penting dalam MVV 2.0 dengan memberikan komitmen serta tumpuan terhadap pembangunan di Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Perasmian MVV 2.0 serta Program Publisiti dan Penyertaan Awam RTMVV 2045 di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Aminuddin Harun. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, Dr Rafie Ab Malek.

Mengulas lanjut, Dr Zeti Akhtar berkata, pembinaan taman berteknologi tinggi dan perindustrian di Labu itu adalah antara enam projek utama yang akan diberi tumpuan menerusi fasa pertama MVV 2.0.

Katanya, fasa kedua pula adalah berdasarkan kepada cadangan yang dinyatakan menerusi Rancangan Pembangunan Komprehensif MVV 2.0 yang diumumkan hari ini.

“Saya gembira apabila ramai pelabur asing dan tempatan menyatakan minat mereka untuk menjadi sebahagian daripada MVV 2.0 yang sekali gus menunjukkan terdapat potensi pembangunan di kawasan itu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, ketika ini pihaknya masih mengadakan perbincangan dengan beberapa pelabur dan akan membuat pengumuman selepas perbincangan selesai.

“MVV 2.0 bukan sahaja berupaya memberikan kesan yang mapan kepada Negeri Sembilan, malah ia dilihat sebagai penggerak seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Berita Harian X