Jumaat, 9 November 2018 | 12:32pm
Setiusaha Agung MPM, Datuk Dr Hasan Mad. - Arkib NSTP

'Tangguh pelaksanaan Skim Pendanaan Awam Hartanah'

KUALA LUMPUR: Skim Pendanaan Awam Hartanah perlu dikeluarkan daripada Belanjawan 2019 dan ditangguhkan pelaksanaannya untuk dikaji secara menyeluruh, kata Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Hasan Mad, berkata skim berkenaan yang mengetengahkan pembayaran hanya 20 peratus kepada golongan B40 untuk memiliki rumah pertama mereka, manakala selebihnya dibiaya menerusi 'peer-to-peer lending' atau pelabur, belum cukup teruji kesesuaiannya.

Justeru, katanya adalah tidak wajar pembeli didedahkan kepada risiko yang boleh dijangkakan, termasuk pembeli yang tidak arif dengan skim baharu ini dan pemilik wang haram yang dikhuatiri mengeksploitasi kaedah berkenaan.

"Kaedah ini wajib diuji dahulu kesesuaiannnya dan segala permasalahan dimitigasi dahulu agar peminjam majoritinya dalam kalangan golongan B40 tidak terdedah kepada risiko memperoleh sumber dana yang diragui dan mekanisme pembiayaannya masih kabur," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hasan berkata MPM juga telah menubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk mengkaji kandungan Belanjawan 2019 dan beliau sendiri ditugas meneliti cadangan berkaitan perumahan.

Walaupun memuji tindakan kerajaan memperkenalkan skim inovatif berkenaan bagi menyediakan kaedah pemilikan rumah yang baharu, Hasan berpendapat buat masa ini, kejayaan skim itu hanya satu kemungkinan kerana ia belum terbukti sesuai.

"Keraguan kami adalah berasas. Malah ia adalah konsisten dengan keraguan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri yang mahukan bukti bahawa kaedah 'Property crowd funding' sebagai skim pembiayaan perumahan ini sesuai dilaksanakan," katanya.

-BERNAMA

295 dibaca
Berita Harian X