Khamis, 8 November 2018 | 6:55pm
TIMBALAN Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berucap pada Persidangan LEAP anjuran TM One di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Hafiz Sohaimi

Garis panduan pendanaan ramai hartanah akan dikeluarkan

KUALA LUMPUR: Garis panduan menyeluruh platform pendanaan ramai hartanah dijangka dikeluarkan dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah.

Beliau berkata, pada masa ini mekanisme penuh mengenai pendekatan platform itu akan dilaksanakan masih belum disiapkan sepenuhnya.

Namun, katanya konsep pendanaan ramai berkenaan adalah satu pendekatan inovatif yang boleh membantu pemilikan hartanah di negara ini.

“Berdasarkan kajian awal, pendekatan pendanaan ramai hartanah ini adalah sesuatu yang boleh dilaksanakan.

“Justeru, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan berpendapat ia perlu dicuba kerana ia boleh membuka peluang kepada mereka yang tidak layak mendapat pembiayaan dari institusi perbankan untuk memiliki rumah,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan LEAP anjuran TM One di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Naib Presiden Eksekutif yang juga Ketua Eksekutif TM ONE, Azizi A Hadi.

Mengulas lanjut, Raja Kamarul berkata kerajaan faham akan kebimbangan yang timbul mengenai pendekatan pendanaan ramai hartanah itu kerana ia adalah sesuatu yang baharu diperkenalkan.

“Setiap perkara baharu yang diperkenalkan sentiasa mendapat reaksi meluas daripada masyarakat. Bagaimanapun, saya ingin menasihatkan orang ramai supaya jangan terlalu skeptikal mengenainya kerana kerajaan komited dalam membantu memudahkan proses pemilikan rumah di negara ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan menyasar hendak menjadikan empat bandar di negara ini sebagai bandar pintar.

“Bandar berkenaan adalah Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Johor Bahru dan juga Kuching. Sebagai permulaan, kementerian saling bertukar idea dan pendapat dengan kerajaan Korea Selatan untuk merealisasikan hasrat mewujudkan lebih banyak bandar pintar di negara ini.

“Antara yang dibincangkan termasuklah usaha untuk meningkatkan keberkesanan pengurusan kualiti air di Kota Kinabalu,” katanya.

78 dibaca
Berita Harian X