Jumaat, 2 November 2018 | 9:03pm
KERAJAAN akan membenarkan platform property crowdfunding yang dipacu oleh sektor swasta. - Foto hiasan

Platform property crowdfunding perlu kawalan ketat

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan mewujudkan platform penjanaan dana hartanah masyarakat (property crowdfunding) sebagai alternatif membeli rumah pertama memerlukan kawalan ketat bagi mengelak pembeli terjebak dalam pembelian hartanah yang tidak sewajarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Hartabumi.com, Radzi Tajuddin, berkata walaupun langkah itu dilihat selari dengan model kewangan baru dan teknologi canggih, platform berkenaan perlu ada kriteria tertentu terutama dalam isu penjualan hartanah pada harga yang munasabah.

“Saya mengalu-alukan platform property crowdfunding ini kerana ia yang pertama di dunia. Selama ini crowdfunding hanya menjurus kepada pembiayaan politik tetapi kini golongan B40 dan M40 mampu memiliki hartanah melalui platform ini.

“Apa yang menjadi kebimbangan, platform ini ada baik dan buruknya dalam soal hartanah. Jika tiada kawalan, pemaju tidak lagi akan membina rumah pada harga yang lebih murah kerana memberi tumpuan kepada penjualan rumah mahal yang tidak terjual,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 bertemakan’Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’, berkata kerajaan akan membenarkan platform property crowdfunding yang dipacu oleh sektor swasta.

Platform ini akan menjadi sumber alternatif bagi pembelian rumah pertama yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti melalui pinjaman terbuka antara rakan setara (peer-to-peer lending).

Mengulas mengenai pengurangan 10 peratus harga rumah oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Radzi berkata, kerajaan perlu mewujudkan satu garis panduan mengenai harga rumah yang munasabah.

“Jika mengikut harga jualan, perkara ini tidak berapa bagus kerana ada hartanah yang dijual lebih tinggi daripada harga pasaran. Sebagai contoh, hartanah bernilai RM400,000 dijual pada harga RM700,000. Pembeli dapat pengurangan 10 peratus daripada nilai jualan, namun masih terpaksa membayar baki jualan yang tinggi.

“Sebab itu saya berpendapat perlu ada garis panduan berdasarkan big data mengikut harga pasaran supaya hartanah yang dijual, mampu dibeli dan dimiliki oleh rakyat,” katanya.

61 dibaca
Berita Harian X