Selasa, 23 Oktober 2018 | 6:53pm
AMIRUDIN merasmikan Seminar Pembangunan Hartanah Harga Kawalan Negeri Selangor, di Shah Alam, hari ini. - NSTP/Shahiman Sharip

Harga siling Rumah Selangorku diturunkan sebanyak RM20,000 - MB

SHAH ALAM: Kerajaan negeri sudah menurunkan harga siling rumah mampu milik, Rumah Selangorku sebanyak RM20,000 bagi membolehkan lebih ramai penduduk bandar memiliki kediaman.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata pengurangan itu dibuat melalui dasar disemak semula, Rumah Selangorku 2.0 yang membolehkan kediaman berkenaan dijual antara RM42,000 hingga harga siling RM230,000 berbanding maksimum RM250,000 sebelum ini.

Beliau berkata, Rumah Selangorku 2.0 dilaksanakan susulan usaha pada Februari lalu untuk melihat semula dan menambah baik dasar perumahan mampu milik yang mula diperkenalkan pada 2014.

“Dasar baharu yang dikenali sebagai Rumah Selangorku 2.0 sejak April lalu, memberi situasi menang-menang kepada pembeli dan pemaju. Kami mengurangkan harga maksimum daripada RM250,000 sebelum ini kepada RM230,000.

“Saya berharap pengurangan sebanyak RM20,000 ini akan memudahkan pembeli rumah yang berdepan masalah untuk mendapatkan pinjaman. Kami juga berharap lebih ramai rakyat Selangor dapat menjadi pemilik rumah melalui tindakan ini.

“Bagi pemaju pula, kami mengurangkan peratusan kediaman Rumah Selangorku yang perlu mereka bina daripada 50 peratus kepada 40 peratus, selain mengecilkan saiznya daripada 1,000 kaki persegi (92.9 meter persegi) kepada 900 kaki persegi (83.6 meter persegi) setiap unit, dan pada masa sama, mengekalkan kepadatan hingga 120 unit bagi setiap ekar (0.4 hektar),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pembangunan Hartanah Harga Kawalan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Seminar sehari itu yang turut disertai lebih 300 wakil industri hartanah, menjadi platform untuk kerajaan negeri memberi penerangan mengenai dasar dan penambahbaikan bawah Rumah Selangorku 2.0.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, pemaju kini diwajib memperincikan spesifikasi unit dijual kepada pembeli bagi mengelakkan berlaku masalah tidak puas hati terhadap kemasan rumah yang dibeli seperti berlaku sebelum ini.

Seterusnya, beliau berkata, antara 2014 hingga September tahun ini, sejumlah 204 projek perumahan mampu milik membabitkan pembinaan sebanyak 104,460 unit kediaman sudah diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Katanya, sejumlah 6,303 unit sudah siap serta diserahkan kepada pembeli, manakala 22,336 lagi dalam proses pembinaan dan pemiliknya boleh berpindah masuk secara berperingkat mulai tahun ini hingga 2022.

Amirudin berkata, bagi fasa seterusnya, kerajaan negeri menyasarkan pembinaan sebanyak 30,000 kediaman Rumah Selangorku mulai sekarang hingga 2023, dan beliau akan mengawasi perkembangan bagi memastikan ia dapat dilaksanakan.

Berita Harian X