Rabu, 18 Julai 2018 | 3:10pm
PENGARAH Urusan LBS Bina Group Bhd, Tan Sri Lim Hock San (dua dari kiri) dan Presiden Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, Datuk Dr Tan Chik Heok (dua dari kanan) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara LBS Bina Group Bhd dan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumpur. Turut menyaksikan, Pengarah Eksekutif LBS, Datuk Cynthia Lim Mooi Pang (kiri) dan Naib Presiden Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, Dr Chook Ka Joo (kanan). - Foto Asyraf Hamzah

LBS rancang lancar dua kediaman hartanah

GOMBAK: LBS Bina Group Bhd (LBS) akan melancarkan dua projek kediaman bertanah di Lembah Klang dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM962 juta dalam tempoh dua bulan ini.

Pengarah Urusannya, Tan Sri Lim Hock San, berkata dua projek itu adalah Fasa 3 Alam Perdana, Puncak Alam dan Fasa 1 Cybersouth di Dengkil.

Beliau berkata, fasa 3 Alam Perdana, Puncak Alam yang dijangka dilancarkan minggu depan membabitkan GDV RM474 juta merangkumi 856 unit kediaman dua tingkat dan 28 unit semi-D dengan harga bermula dari RM509,900 dan RM850,000.

"Kumpulan yakin dapat mencapai sasaran jualan membanggakan berpandukan jualan fasa 1, yang dilancarkan Oktober tahun lalu sudah pun habis dijual," katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Presiden TAR UC, Datuk Dr Tan Chik Heok.

Mengulas lanjut, Hock San berkata, projek kedua selepas ini adalah Fasa 1 Cybersouth di Dengkil dengan GDV RM488 juta.

Katanya, projek kediaman bertanah itu dijangka dilancarkan September ini merangkumi 379 unit kediaman teres dua tingkat dan 698 unit kediaman 'townhouse' dengan harga bermula dari RM530,000 dan RM399,900.

Setakat 17 Julai, LBS mencatatkan jumlah jualan RM914 juta, peningkatan 54 peratus daripada RM593 juta yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu, manakala jumlah jualan belum direkodkan sehingga akhir Jun pada RM1.7 bilion.

Mengulas mengenai MoU itu, Hock San berkata kerjasama itu membabitkan usaha LBS Bina berkongsi dan meningkatkan pengalaman pendidikan yang holistik dengan menyediakan persekitaran pembelajaran yang bermanfaat.

"Usaha ini adalah permulaan untuk meneroka bagaimana kita boleh menggabungkan sumber kita sama ada bakat atau kemudahan, bagi menyokong pengalaman pembelajaran yang lebih holistik untuk pelajar TAR UC," katanya.

Kerjasama selama tiga tahun ini membabitkan kerjasama, pembangunan dan promosi pelbagai aktiviti dengan menggalakkan perkongsian jangka panjang dan meneroka idea inovatif yang membabitkan kolaborasi perniagaan dan akademik.

Sementara itu, Chik Heok berkata, kerjasama itu membuka peluang pelajar TAR UC untuk menjalani latihan industri di LBS serta menyertai aktiviti kerja amal.

"Kerjasama ini akan memberi manfaat kepada lebih 20,000 pelajar kami, yang dapat memanfaatkan ruang kecil di pusat beli belah ini untuk aktiviti di luar kampus," katanya.

Ruang yang dinamakan 'Lepak' bertempat di Aras 3, pusat beli-belah M3 itu dijangka dibuka kepada orang awam khususnya pelajar TAR UC pada pertengahan Ogos ini dengan kapasiti maksimum 80 orang pada satu-satu masa.

Berita Harian X