Sabtu, 7 Oktober 2017 | 5:16pm
Sebahagian pengunjung yang datang pada MyRumah Shoecase 2017 di The Curve, Mutiara Damansara. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Diskaun sehingga 20 peratus sempena MyRumah 2017

PETALING JAYA: "Diskaun sehingga 20 peratus untuk pembelian kediaman terpilih Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), menanti pengunjung pameran MyRumah 2017," kata Perunding Hartanah Bahagian Jualan Hartanah Wilayah Tengah PKNS, Mohd Hafidz Razani.

Mohd Hafidz berkata, pembeli pertama dan kedua projek PKNS masing-masing berpeluang menikmati diskaun 10 peratus dan 20 peratus bagi pembelian kediaman sekitar Rawang, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

"Harga kediaman dalam lingkungan RN600,000 hingga RM1.6 juta bagi tawaran diskaun 10 peratus, manakala rumah berharga serendah RM400,000 dapat dinikmati pembeli rumah kedua PKNS.

"Ini tawaran istimewa menerusi skim 'Smart Ownership PKNS', satu peluang yang harus direbut pengunjung pameran kali ini," katanya ketika ditemui pada pameran itu, di sini, hari ini.


Perunding Hartanah Reapfield Property, Catherine Dorall (kiri) memberi penerangan kepada pengunjung yang datang pada MyRumah Shoecase 2017 di The Curve, Mutiara Damansara. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

PKNS antara enam pemaju hartanah yang mempamerkan projek masing-masing pada pameran MyRumah 2017 siri keempat di sini, selama tiga hari, bermula semalam.

Pemaju hartanah lain ialah Magna Prima Development, Pantai Berkat Sdn Bhd, Seriemas Development Sdn Bhd, Sime Darby Group dan Uda Property.

Pada masa sama, Mohd Hafidz berkata, pengunjung yang mempunyai minat dalam bidang hartanah berpeluang menjadi agen kediaman PKNS.

"Agen yang mendaftar dengan PKNS, dapat menikmati insentif selepas berjaya menjual kediaman berkenaan.

"Mereka akan mendapat komisyen berjumlah RM4,000, RM6,000 dan RM10,000 masing-masing bagi penjualan rumah bernilai bawah RM400,000, RM400,000 hingga RM1 juta dan RM1 juta ke atas," katanya.

Sementara itu, Pengurus Jualan Uda Property, Mohd Hairel Che Azmi, berkata pengunjung berpeluang menikmati diskaun sehingga 13 peratus bagi pembelian kondominum menerusi Projek Legasi Kampung Bharu Uda Property.


Pengunjung, Amir Haris Mohd Azrin, 21 dan Ummi Kalsom Abdul Rahman, 24 melihat pamplet PKNS pada MyRumah Shoecase 2017 di The Curve, Mutiara Damansara. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Katanya, diskaun berkenaan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu lima peratus khas untuk pengunjung pameran MyRumah, lima peratus bagi golongan Bumiputera dan tiga peratus lagi berbentuk rebat tunai.

"Satu unit kondominium berkenaan berharga dalam lingkungan RM795,000 hingga RM1.5 juta bergantung kepada saiz kediaman berkenaan.

"Malah, ia juga mempunyai pemandangan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

"Saya saya harap orang ramai tidak lepaskan peluang keemasan ini kerana unit rumah yang ditawarkan terhad," katanya.

27 dibaca
Berita Harian X