Jumaat, 13 Disember 2019 | 6:34pm
Sejak Proton X70 dilancarkan pada 12 Disember 2018, PROTON komited untuk memulakan pengeluaran di Tanjung Malim menjelang akhir 2019.

PROTON mula pengeluaran X70 di Tanjung Malim

TANJUNG MALIM: PROTON hari ini memulakan pengeluaran model kenderaan utiliti sukan (SUV) X70 di kilang baharunya dekat sini, genap setahun selepas dilancarkan di Malaysia.

Sejak Proton X70 dilancarkan pada 12 Disember 2018, PROTON komited untuk memulakan pengeluaran di Tanjung Malim menjelang akhir 2019.

Dengan mengeluarkan kereta berkenaan secara rasminya hari ini, PROTON berjaya menunaikan janjinya.

SUV premium segmen C yang terlaris di Malaysia itu akan dihasilkan di kilang binaan baharu Tanjung Malim yang dibina dengan kos sebanyak RM1.2 billion, sekali gus menjadi satu pencapaian dalam masa yang singkat.

Pada masa yang sama, PROTON juga telah bekerjasama dengan pembekal-pembekal tempatan dan luar negara dalam memastikan segala bahagianyang diperlukan mencukupi apabila aktiviti pengeluaran SUV pertama bermula.

Perasmian pengeluaran X70 di kilang Tanjung Malim dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking.

Hadir sama, Pengerusi PROTON, Datuk Seri Syed Faisal Albar; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Geely Auto Group, An Conghui serta barisan pengurusan kanan PROTON.

“Hari ini, PROTON sekali lagi mencatatkan sejarah dengan mengambil satu langkah ke hadapan untuk menjadi jenama automotif bertaraf global.

“Melalui pengeluaran Proton X70 di Tanjung Malim, kami telah mengambil langkah besar untuk menonjolkan kebolehan kerana itu adalah impian yang ingin dikecapi buat masa ini.

“Kilang baharu ini bukan sahaja akan menghasilkan produk-produk baharu yang akan dibangunkan bersama Geely, tetapi ia juga akan berfungsi menjadi pusat pengeluaran bagi model pemanduan sebelah kanan kerana kami akan mula mengeksport ke negara-negara di seluruh dunia,” kata Syed Faisal Albar.

Berita Harian X