Selasa, 3 Disember 2019 | 4:48pm
Proton Saga kembali mendahului jualan bagi sedan segmen A, apabila memecahkan rekod jualan sebanyak 4,000 unit untuk tiga bulan berturut-turut. - Arkib NSTP

Jualan kereta PROTON meningkat dua kali ganda

SUBANG JAYA: PROTON mencatatkan prestasi memberangsangkan pada November apabila jualannya meningkat 100 peratus berbanding bulan sama tahun lalu.

Ia menyaksikan sebanyak 9,643 unit kereta dijual di peringkat domestik dan pasaran eksport pada bulan berkenaan.

Prestasi itu menjadikan jualan terkumpul bagi tahun ini mencecah 89,476 unit, pertumbuhan sehingga 50.1 peratus dalam tempoh setahun.

Penguasaan pasarannya turut meningkat dan PROTON kini dianggarkan menguasai 16.2 peratus bagi keseluruhan 2019.

Proton Saga kembali mendahului jualan bagi sedan segmen A, apabila memecahkan rekod jualan sebanyak 4,000 unit untuk tiga bulan berturut-turut dengan sebanyak 4,091 unit kereta diserahkan kepada pelanggan bulan lalu.

Rekod ini membolehkan model terbaharu PROTON itu kembali ke tangga teratas jualan dalam barisan model sedan segmen A dan dengan sebanyak 34,422 unit kereta yang terjual setakat ini, pertumbuhannya mencecah 32 peratus, menjadikannya model terbaik berbanding mana-mana model dalam segmen A setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong, berkata Saga adalah kejayaan besar untuk PROTON sejak dilancarkan pada Ogos.

Beliau berkata, dalam tempoh hanya empat bulan, syarikat telah menerima lebih daripada 35,000 tempahan dan pada ketika ini, setiap unit yang berada di kilang sudah ada pemiliknya.

“Oleh itu, ini adalah cabaran untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran Saga dan kami juga telah mengadakan perbincangan rapi bersama pembekal dalam usaha untuk meningkatkan lagi volum pada tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Chunrong berkata, jualan Proton X70 bertambah baik sempena hampir setahun model ini diperkenalkan.

“Proton X70 telah mencatatkan kejayaan paling bermakna untuk syarikat bagi tahun 2019. Model ini telah membuka peluang PROTON memasuki segmen baharu meskipun tanpa pengalaman dan selepas setahun,

kami berjaya mendahului jualan.

“Sempena hampir setahun model itu diperkenalkan di pasaran, jualan semakin meningkat dan pada November, lebih 2,000 unit telah dijual.

“Peningkatan ini menunjukkan bahawa pelanggan masih berminat dengan SUV pintar yang ditawarkan dan kami menyasarkan untuk mengekalkan prestasi ini pada tahun akan datang,” katanya.

Berita Harian X