Rabu, 27 November 2019 | 5:48pm
Audi akan mengurangkan satu daripada sepuluh pekerjaan. - Foto hiasan

Audi sasar kurangkan 9,500 pekerja sehingga 2025

HAMBURG/MUNICH: Audi akan mengurangkan satu daripada sepuluh pekerjaan, menjimatkan berbilion euro untuk membiayai transformasinya ke arah pengeluaran kenderaan elektrik.

Anak syarikat pengeluar kereta terkemuka Jerman, Volkswagen itu kini bergelut dengan kelembapan industri automotif, terutamanya di pasaran China dan keadaan memerlukan ia meningkatkan pelaburan dalam kenderaan elektrik berikutan beberapa negara kini aktif melarang enjin pembakaran konvensional.

Audi berkata, ia akan mengurangkan sehingga 9,500 pekerjaan atau 10.6 peratus daripada jumlah kakitangannya menjelang 2025, sekali gus menjimatkan kira-kira 6 bilion euro (RM27.59 bilion).

Dalam pada itu, ia juga akan mewujudkan sehingga 2,000 jawatan baharu dalam bidang mobiliti elektrik dan digitalisasi.

“Syarikat harus sesuai untuk masa depan yang mana beberapa profil pekerjaan tidak lagi diperlukan dan yang baharu akan diwujudkan,” kata Audi dalam kenyataan.

Kumpulan itu berkata, pengurangan itu yang juga termasuk jawatan pengurusan, akan berlaku sepanjang peralihan demografi menerusi perolehan pekerja dan program persaraan awal dan membantu ia mencapai keuntungan antara 9.0 peratus hingga 11 peratus.

Rival Daimler serta pembekal peralatan kenderaan Continental dan Osram juga baru-baru ini mengumumkan pengurangan kakitangan dan kos pengurusan.

Audi bersetuju untuk memperluaskan jaminan pekerjaan bagi tenaga kerjanya sehingga akghir 2029, antara perbincangan utama di antara pihak pengurusan dan wakil pekerja.

“Kami telah mencapai kejayaan penting. Pekerjaan teras kami adalah selamat," kata Peter Mosch, pengerusi majlis kerja am Audi.

“Lanjutan jaminan pekerjaan adalah kejayaan besar dalam masa yang sukar."

Perjanjian antara pengurusan dan pekerja menyaksikan kapasiti pengeluaran tahunan di kilang Audi di Ingolstadt dan Neckarsulm masing-masing pada 450,000 dan 225,000.

Audi berkata, dana akan ditubuhkan di tapak Neckarsulm untuk membiayai peralihan ke arah kenderaan elektrik dan dijangka bernilai 300 juta euro menjelang 2025. - Reuters

Berita Harian X