Selasa, 5 November 2019 | 6:08pm
BMW GS R1250 Adventure. - Foto Eizairi Shamsudin

GSA R1250: 1 enjin, 2 'karakter'

KUALA LUMPUR: Kemunculan jentera baharu di pasaran lazimnya diiringi pelbagai kejutan, antaranya peningkatan kuasa kuda atau tork, reka bentuk lebih ‘seksi’ dan ringan, selain sarat dengan teknologi canggih serta terkini.

Tidak terkecuali, BMW sebagai peneraju dalam dunia permotoran bertali arus menawarkan pilihan kepada peminatnya, justeru pameran motosikal, INTERMOT yang berlangsung di Cologne, barat Jerman, baru-baru ini mencetuskan fenomena baharu.

Penganjuran pameran berskala gergasi dua tahun sekali itu menyaksikan kelahiran baharu jentera kelas ADV BMW, iaitu GS R1250 Adventure yang menyajikan lonjakan kuasa kuda dan paling sensasi, ‘senjata’ penjimatan minyak.

Peningkatan kuasa kuda hampir sembilan peratus, berbanding varian lama, GS R1200 mungkin tampak kecil dan tidak signifikan, namun cakap-cakap dalam kalangan ‘otai’ permotoran mengatakan ada sesuatu di sebalik percaturan bijak BMW ini.

Bagai pucuk dicita, ulam mendatang, BMW Malaysia di Cyberjaya menawarkan BH AUTO peluang untuk merasai sendiri penangan jentera yang turut mendapat jolokan ‘anak unta’ ini - disebabkan ketangkasan mengharungi pelbagai muka bentuk muka bumi dan fizikal tinggi.

Sekilas pandang, perbezaan paling ketara varian Adventure dan GS 1250 yang biasa adalah muatan tangki minyaknya, iaitu masing-masing berkapasiti 30 liter serta 20 liter.

Sebaik enjin dihidupkan dengan menekan butang kawalan utama di tengah bar pemegang menerusi teknologi ‘tanpa kunci’, skrin paparan TFT menunjukkan GS R1250 Adventure berupaya mengharungi perjalanan sejauh 532 kilometer berbekalkan tangki minyak penuh.

Terlopong seketika mulut penulis tatkala melihat angka berkenaan, namun terdetik di hati jangkaan kemampuan perjalanan itu tertakluk kepada beberapa faktor, khususnya corak tunggangan.

Tanpa berlengah, jentera dengan ketinggian pelana 910 milimeter ini cuba diturunkan daripada kedudukan ditongkat dua bagi memulakan perjalanan sulung dari Cyberjaya ke pejabat di Jalan Riong, Bangsar.

Disebabkan sebuah lagi jentera sama berada di hadapan, penulis berusaha menarik kuda padang pasir Jerman ini sedikit ke belakang untuk memudahkan kawalan ketika memulakan tunggangan.

Pelik! Seakan ada sesuatu yang mengunci tayar sehingga jenuh segenap sudut motosikal diamati, dengan beranggapan mungkin ia dipasang alat mencegah kecurian.

Hampir berputus asa dan di ambang untuk memanggil mekanik BMW, penulis teringat ciri-ciri jentera ini, iaitu ia dilengkapi kawalan brek automatik sekiranya motosikal dikesan berada dalam permukaan lereng sekitar lima darjah.

Tersenyum memikirkan keletah sendiri, padahal cengkaman brek automatik itu berupaya dimatikan jika pendikit dibuka sedikit bagi membolehkan motosikal mula bergerak ke hadapan.

Bagi menguji ‘senjata’ penjimatan minyak menerusi teknologi ‘shiftcam’ yang diuar-uarkan BMW, penulis mengambil keputusan makan angin untuk menghirup ‘kopi kaw 13 negeri‘ di Jonker Walk, kota bersejarah Melaka.

Fungsi ‘auto cruise’ yang dimuatkan di jentera ini ternyata memudahkan aspek tunggangan, malah amat berkesan untuk menghindari kesan telapak tangan kebas sepanjang perjalanan akibat terpaksa ‘berpaut’ di pendikit.

Menggunakan mod dinamik dari Kuala Lumpur ke Melaka, perubahan sesaran enjin sebanyak 50cc mengubah pelbagai aspek prestasi enjin, khususnya tork puncak jentera GS R1250 Adventure ini lebih cepat, manakala pendikit lebih responsif.

Lantaran leka mengenjut ‘anak unta’ ini, lupa pula tekad penulis untuk mengekalkan corak tunggangan berhemah bagi menguji sejauh mana faktor penjimatan enjin yang dicanang BMW.

Menakjubkan, hanya dengan satu isian penuh tangki minyak, penulis berupaya pergi dan balik Melaka, malah masih mempunyai baki petrol untuk ‘ukur jalan’ di sekitar Kuala Lumpur pada waktu malam.

Ternyata teknologi ‘shiftcam’ yang dimuatkan dalam enjin ‘boxer’ berkembar GS R1250 Adventure ini mampu mengoptimumkan aspek pembakaran bahan api bersandarkan corak tunggangan, sekali gus menjimatkan minyak.

Fungsi ‘partial load’ atau beban separa dan ‘full load’ atau beban penuh pada aci sesondol jentera ini adalah ‘senjata’ terkini BMW untuk menyaingi pesaing dalam kalangan pengeluar motosikal ADV lain seperti Honda, Ducati, Triump dan KTM.

Mengenangkan penangan GS R1250 Adventure, mungkin harga kilangnya iaitu RM125,500 berbaloi kepada penulis untuk ‘disunting’ sebagai jentera tatkala meniti usia pencen dan berkelana melihat negara orang.

INFO:

Spesifikasi

- Enjin: Boxer, 1254cc, DOHC, sejukan cecair, silinder berkembar

- Transmisi: 6-kelajuan, gigi gear ‘helical’, shaft

- Kuasa maksimum: 136 hp (82 kW) pada 7,750 rpm

- Tork maksimum: 143 Nm pada 6,250 rpm

- Penyerap hentakan depan: BMR Motorrad Telelever 37mm, tambahan spring tengah, damper

- Penyerap hentakan belakang: swingarm tunggal BMW Motorrad Paralever, damper, spring hidraulik

- Brek depan: Disk berkembar diameter 305mm, kaliper empat omboh

- Brek belakang: Disk tunggal diameter 276mm, kaliper dua omboh

- Tayar depan: 120/70 R19

- Tayar belakang: 170/60 R17

- Ketinggian pelana: 910mm

- Kapasiti tangki: 30 liter

- Berat: 268 kg

Berita Harian X