Selasa, 5 November 2019 | 5:55pm

Beli model Mitsubishi, dapat rebat hingga RM12,000

KUALA LUMPUR: Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) menawarkan rebat tunai sehingga RM12,000 kepada pelanggan yang membeli varian dan model terpilih keluaran Mitsubishi sehingga 31 Disember ini.

Pembelian dalam tempoh promosi juga membolehkan pelanggan menikmati kadar faedah serendah 0.88 peratus (pinjaman pembelian menerusi Maybank atau Public Bank sahaja) bersempena promosi hujung tahun.

Bermula dengan trak pikap Triton, varian asas VGT MT kini ditawarkan dengan rebat tunai RM4,000, sementara versi automatik (VGT AT) pula dengan rebat RM8,000.

Bagi varian VGT MT Premium dan VGT AT Premium, ia ditawarkan dengan kadar faedah serendah 0.88 peratus, atau sebagai alternatif, MMM menawarkan rebat sebanyak RM10,000 untuk VGT MT Premium dan RM4,000 bagi VGT AT Premium.

Varian tertinggi VGT Adventure X, turut ditawarkan dengan kadar faedah rendah, tetapi pelanggan juga diberikan pilihan rebat tunai RM4,000.

Promosi ini juga membabitkan model Outlander, dengan varian 2.0L ditawarkan rebat sebanyak RM4,000, sementara varian 2.4L pula dengan RM2,000.

Kedua-dua varian Outlander hadir dengan pakej penyelenggaraan percuma selama dua tahun.

Turut terbabit dengan promosi ini ialah crossover ASX, dengan rebat sehingga RM12,000 untuk varian 4WD, atau rebat RM8,000 bagi model 2WD.

Berita Harian X