Selasa, 5 November 2019 | 5:27pm
MERCEDES-AMG GT C

Mercedes-AMG GT C, GT R jengah Malaysia

KUALA LUMPUR: Selepas membuat kemunculan di Los Angeles November lalu, Mercedes-Benz Malaysia (MBM), tidak menunggu lama untuk melancarkan model Mercedes-AMG GT C dan GT R secara rasmi ke pasaran Malaysia.

Generasi baharu Mercedes-AMG GT C dan GT R masing-masing ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans RM1,558,888 dan RM1,712,888.

Secara asasnya, kemaskini terbaharu itu hanya membabitkan sedikit perubahan pada rupa, dan penambahan beberapa fungsi baharu pada bahagian dalaman.

Semua versi baharu AMG GT ini diberikan lampu LED baharu dengan reflektor tiga kelongsong yang direka bersepadu dengan lampu nyalaan siang juga dengan grafik baharu, yang mengapit gril Panamerica.

Lampu belakang pula nampak lebih garang dengan bahagian dalam yang berwarna gelap.

Selain itu, bahagian belakang GT C turut mendapat kemasan hitam pada diffuser, dan susun atur muncung ekzos yang baru yang dihasilkan dengan bentuk dua trapezoid, berbanding GT R yang masih mengekalkan muncung di tengah bersama dua lagi yang kecil pada diffuser.


MERCEDES-AMG GT R

Mercedes-AMG GT R masih dijana oleh enjin yang sama iaitu enjin M178 V8 4.0 liter dengan dua pengecas turbo, menghasilkan 585 PS dan tork 700 Nm.

Mercedes-AMG GT C juga turut menerima enjin M178 yang sama tetapi ia ditala bagi menghasilkan kuasa 557 PS dan tork puncak 680 Nm.

Kedua-dua model itu dipadankan dengan transmisi AMG Speedshift DCT tujuh kelajuan klac berkembar, memacu hanya roda belakang.

Ini membolehkan Mercedes-AMG GT R memecut dari 0-100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 3.6 saat, manakala GT C pula kurang hanya 0.1 saat.

GT R memiliki kelajuan maksimum 318 km/j, sementara GT C (317 km/j).

Menjengah di bahagian kokpit pula, pemandu akan menerima panel instrumen 12.3 inci dan skrin infotainmen 10.25 inci baharu.

Untuk interaksi yang lebih baik dengan skrin ini, ia kini dibekalkan dengan roda stereng prestasi AMG yang baharu yang dilengkapi Touch Control.

Untuk pasaran Malaysia, GT R didatangkan terus dengan Track Package (ciri standard untuk model GT R Pro), terdiri dari roll cage, tempat duduk bucket AMG lengkap dengan tali pinggang lumba empat poin dan pemadam api dalam kenderaan.

Selain itu, ia juga menerima kemasan trim gentian karbon dan pendakap pada bahagian but.

Untuk brek pula, Track Package hadir dengan sistem brek seramik berprestasi tinggi dengan angkup berwarna hitam.

Berita Harian X