Isnin, 28 Oktober 2019 | 6:38pm
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Zainal Abidin Ahmad. - NSTP/Asyraf Hamzah

PERODUA sedia hadapi persaingan

TOKYO: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) tidak bimbang mengenai wujudnya persaingan lebih sengit selepas kehadiran jenama nasional ketiga.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata PERODUA sentiasa bersedia menghadapi persaingan meskipun jumlah keseluruhan industri (TIV) adalah sekitar 600,000 setahun.

“Kami sentiasa memikirkan selangkah ke hadapan dalam menghadapi sebarang bentuk persaingan termasuk kehadiran jenama baharu dan kereta nasional ketiga kelak.

“Saya melihat dari sudut positif di mana apabila lebih banyak jenama tampil dengan produk mereka, ia bagus untuk pelanggan menilai dan memilihnya kerana pelanggan menjadi keutamaan,” katanya kepada media Malaysia di luar Tokyo Motor Show 2019 di sini, baru-baru ini.

Zainal Abidin berkata, TIV Malaysia masih memiliki ruang untuk berkembang, namun ramai yang lupa bahawa pasaran automotif tidak hanya tertumpu kepada jualan keseluruhan industri.Katanya, ramai yang melihat TIV berjumlah sekitar 600,000 setahun, tetapi lupa adanya 600,000 unit untuk pasaran sekunder dan 600,000 unit lagi untuk motosikal.

“Sebab itu, saya maksudkan yang PERODUA berpandangan selangkah ke hadapan. Jika semua bertumpu kepada TIV, kita akan bertindak sebaliknya.

“Pasaran motosikal misalnya, PERODUA boleh meneroka pasaran ini dengan menawarkan naik taraf pemilik dua roda kepada kereta kerana kita memiliki Perodua Axia yang ditawarkan pada harga bermula sekitar RM24,000.

“Justeru, masih ada ruang kepada PERODUA kekal berkembang walaupun dengan kehadiran peserta industri yang baharu. Kami tidak melihat persaingan sebagai isu yang dominan,” katanya.

Sebelum ini, PERODUA menyambut baik kehadiran jenama nasional ketiga dan bersedia berkongsi kepakaran vendor, teknologi dan kemudahan pemasangan dengan pengeluar kereta nasional ketiga demi kepentingan pasaran automotif tempatan.

PERODUA menyokong projek pembangunan dan menerima secara positif kehadiran jenama baharu kereta nasional itu kerana ia bakal melengkap ekosistem jenama tempatan di pasaran.

Malah, pengeluar kereta kompak paling laris di Malaysia turut melihat perkongsian teknologi antara Daihatsu Motor Co Ltd (DMC) dan DreamEDGE Sdn Bhd (DreamEDGE) dari sudut positif dengan matlamat utamanya adalah untuk kepentingan pasaran automotif negara.

Ogos lalu, kerajaan mengumumkan bahawa kereta nasional ketiga akan dibangunkan DreamEDGE dengan sokongan teknologi daripada DMC.

Projek kereta nasional ketiga dicetuskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jun lalu, kira-kira sebulan selepas beliau kembali menjadi Perdana Menteri susulan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Prototaip bagi model pertamanya dijangka diumumkan Mac tahun depan dengan model yang disebut-sebut adalah kereta sedan empat pintu.

Berita Harian X