Isnin, 7 Oktober 2019 | 6:44pm
Isuzu Malaysia Sdn Bhd baru-baru ini melancarkan Isuzu D-Max 1.9 liter Blue Power yang tampil dengan enjin baharu RZ4E. - NSTP/Aswadi Alias

Trak pikap EEV pertama di Malaysia

KUALA LUMPUR: Isuzu Malaysia Sdn Bhd baru-baru ini melancarkan Isuzu D-Max 1.9 liter Blue Power yang tampil dengan enjin baharu RZ4E, antara enjin diesel paling kompak dan lasak serta cekap untuk kegunaan pada trak pikap hari ini.

Direka untuk memenuhi keperluan penggunaan bahan api serta pembebasan karbon dioksida (C02) yang lebih rendah, enjin 1,898 cc itu mampu memberikan prestasi, ketahanan tinggi serta penjimatan lebih baik, senyap dan kurang geseran, sekaligus menyumbang kepada kos penggunaan lebih rendah walaupun hadir di dalam pakej keseluruhan yang lebih kecil dan kompak.

Pencapaian menakjubkan itu menjadikan trak pikap berkenaan yang pertama di negara ini menerima pengiktirafan sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV).

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Koji Nakamura, berkata Isuzu D-Max 1.9-liter Blue Power menggabungkan kemajuan teknologi dan kepakaran Isuzu untuk menyediakan kepada pengguna sebuah enjin tahan lasak, namun dalam masa yang sama tetap mempunyai prestasi lebih baik serta menjimatkan minyak.

“Pengguna trak pikap meletakkan jangkaan yang tinggi terhadap kenderaan mereka untuk melaksanakan tugasan dengan cemerlang. Mereka memerlukan trak yang berkemampuan tinggi, dengan operasi pada kos yang minimum serta tidak banyak ragam,” katanya.

Isuzu Malaysia menawarkan Isuzu D-Max terbaru itu di dalam 11 varian dalam segmennya, bermula dengan penawaran peringkat kemasukan, 1.9 liter Low-Rider 4x2 manual, yang disasarkan untuk memenuhi keperluan kelompok peniaga.

Ia diikuti oleh model kabin tunggal yang hadir dengan enjin 1.9 liter dan 3.0 liter, kedua-duanya dengan pacuan 4x4 dan versi kabin berkembar yang dilengkapi transmisi manual atau automatik dalam penawaran paling asas (Type B) dan juga bagi tingkat kemasan premium.

Turut serta di dalam barisan penawaran ini ialah versi pacuan 4x2 automatik yang disasarkan untuk pengguna urban yang tidak memerlukan fungsi pacuan 4x4, manakala varian paling tinggi ialah 4x4 Auto Premium, dalam kedua-dua pilihan enjin, 1.9 liter dan 3.0 liter.

Dengan kehadiran enjin 1.9 liter Blue Power terbaru, Isuzu D-Max baharu tidak hanya menawarkan dinamik pemanduan yang lebih baik dari sebelumnya, malah aspek penampilannya juga menerima banyak pembaharuan, misalnya pilihan warna baharu yang ditawarkan termasuk Sapphire Blue, Red Spinel, Stallion Black, Titan Silver, Silky White Pearl dan Magnum White.

Di bahagian depan, rekaan gril dengan gandingan kemasan hitam dan krom kini dilanjutkan sehingga ke lampu utama yang menggunakan unit jenis projektor LED serta lampu siang LED.

Suluhan cahayanya juga boleh dilaraskan oleh pemandu untuk mengelakkan silau terhadap kenderaan dari arah bertentangan.

Bahagian bampar melengkapkan lagi penampilan baharu itu dengan rekaan dan kemasan baharu di sekeliling lampu kabus.

Selain kemasan pelekat baharu pada badan, Isuzu D-Max turut menggunakan rekaan rim 18-inci baharu yang menjadikannya tampil lebih sporty dan sedikit sebanyak menyuntik pengendalian yang lebih cermat pada trak ini.

Enjin terbaru itu juga telah menerima pengurangan berat sebanyak 56 kilogram (kg). Selain itu, cermin sisi juga akan terlipat secara automatik setiap kali kenderaan dikunci.

Untuk memudahkan pemunggahan barang, Isuzu memperkenalkan ciri pintu ringan bagi ruang barangan di belakang sebagai ciri pilihan dan bagi membolehkan pengguna benar-benar menghargai kelebihan pengurangan bunyi kebisingan enjin enam peratus dapat dicapai melalui enjin baharu ini berbanding enjin 2.5 liter yang digantikannya.

Jurutera Isuzu menjadikan ruang dalaman trak ini lebih selesa dan kemas, antaranya melalui penggunaan material lembut di beberapa bahagian panel sedia ada yang tidak hanya berfungsi menyerap bunyi dengan lebih baik dan menjadikan ruang kabin lebih senyap, tetapi turut menjadikannya lebih selesa dan menawan.

Info:

ISUZU D-MAX (TYPE B - SINGLE CAB)

1.9L 4X4 (MT) - RM85,000

3.0L 4X4 (MT) - RM91,000

ISUZU D-MAX (TYPE B - DOUBLE CAB)

1.9L 4x2 (MT) Low Ride - RM79,000

1.9L 4x2 (MT) High Ride - RM86,000

1.9L 4x4 (MT) Type B - RM96,000

1.9L 4x4 (MT) Premium - RM105,000

1.9L 4x4 (AT) Type B - RM104,000

3.0L 4x4 (MT) Type B - RM104,000

ISUZU D-MAX (PREMIUM - DOUBLE CAB)

1.9L 4X2 (AT) High Ride - RM99,000

1.9L 4x4 (AT) Premium - RM115,000

3.0L 4x4 (AT) Premium - RM119,000

Berita Harian X