Jumaat, 4 Oktober 2019 | 4:49pm

Bermaz Auto percepat pengeluaran CKD ketiga Mazda

KUALA LUMPUR: Pemasang dan pengedar kenderaan jenama Mazda di Malaysia, Bermaz Auto Bhd sedang berunding dengan Mazda Motor Corporation dari Jepun bagi mempercepatkan proses untuk membolehkannya mengeluarkan model ketiga kenderaan Mazda secara pemasangan tempatan (CKD).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Lee Kok Chuan, berkata pengukuhan nilai yen Jepun berbanding ringgit memberi kesan kepada margin keuntungan kasar kumpulan itu dan ini mendorong pihak pengurusan untuk menyegerakan keutamaan lebih khusus kepada program CKD.

Beliau berkata, Bermaz Auto sedang mempertimbangkan dua model bagi pemasangan ketiga secara CKD itu.

“Mereka (Mazda Motor Corporation) mahukan model ketiga dibuat secara pemasangan CKD di Malaysia.

“Ia mungkin SUV model CX-30 atau mungkin juga model yang baharu sepenuhnya,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat itu di sini, hari ini.

Selepas mengeluarkan model CX-5 dan CX-8 secara CKD, Bermaz Auto dan rakan kongsinya perlu membuat pelaburan tambahan bagi merealisasikan pemasangan model baharu itu.

Menurut penganalisis di Affin Hwang Capital, Bermaz Auto dan rakan kongsinya memerlukan sekitar RM200 juta untuk menaik taraf kemudahan pengeluaran Inokom Corp Sdn Bhd di Kulim, yang akan menyaksikan kapasitinya ditingkatkan daripada 30,000 unit kepada 50,000 unit setahun.

Ditanya sama ada Bermaz Auto dapat mengekalkan pretasi kewangan cemerlang 2019 bagi tahun ini, Kok Chuan berkata adalah amat mencabar bagi syarikat itu untuk mengekalkan prestasi kewangan tahun kewangan yang sebahagiannya disokong pelepasan cukai atau cuti cukai.

Affin Hwang Capital menjangka jumlah jualan Bermaz Auto akan menyederhana dalam tahun kewangan disebabkan persaingan bagi Mazda CX-5 daripada Proton X70.

Bagaimanapun, Kok Chuan berkata Bermaz Auto tidak melihat PROTON sebagai pesaing Mazda kerana kedua-dua model itu bersaing dalam segmen yang berbeza.

“Mazda bersaing dalam segmen yang lebih premier,” katanya.

Untung bersih Bermaz Auto melonjak 89.5 peratus kepada RM265.26 juta dalam tahun kewangan berakhir April 30 2019.

Berita Harian X