Ahad, 29 September 2019 | 5:39pm
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama (enam dari kiri) bersama pemenang Sambutan ‘The Road to 900k Grand Finale’, di Bukit Jalil. - NSTP/Salhani Ibrahim

Sembilan pemenang bertuah bawa pulang Honda baharu

KUALA LUMPUR: Honda Malaysia Sdn Bhd meraikan penjualan keretanya yang ke-900,000 unit sejak penubuhannya pada 2002, dengan menganjurkan sambutan selama dua hari secara besar-besaran kepada semua pelanggannya pada Sabtu dan Ahad lalu.

Acara kemuncak sambutan itu adalah majlis penyerahan sembilan model Honda kepada pelanggan bertuah yang memenangi cabutan bertuah iaitu model Jazz, City, BR-V, HR-V, City Hybrid, HR-V Hybrid, Civic, CR-V dan Accord.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama, berkata kempen itu dianjurkan dengan lebih istimewa kerana ini kali pertama Honda Malaysia bekerjasama dengan jenama popular tempatan seperti Astro Radio, Tealive dan unifi untuk menawarkan sembilan kereta kepada pelanggan bertuah.

“Sepanjang tempoh kempen, kami menerima maklum balas menggalakkan dan penyertaan aktif rakyat Malaysia, lebih 122,000 penyertaan diterima sepanjang dua bulan kempen dilaksanakan.

“Kami sangat gembira dengan pencapaian jualan 900,000 unit kenderaan sejak penubuhan pada 2002 dan kami mahu menyambutnya dengan semua rakyat,” katanya di Kuala Lumpur.

Honda Malaysia mula memperkenalkan CR-V yang dipasang di negara ini pada 2003.

Model pemasangan tempatan itu kini menyumbangkan 95 peratus daripada jumlah jualan syarikat manakala bakinya daripada model diimport sepenuhnya seperti Odyssey dan Civic Type R.

Model City kini adalah model Honda paling popular menyumbangkan 33 peratus kepada keseluruhan jumlah jualan syarikat mengatasi HR-V dan CR-V dengan masing-masing 18 peratus dan 14 peratus.

Sambutan ‘The Road to 900k Grand Finale’ dianjurkan di tempat letak kenderaan Stadium Nasional Bukit Jalil dengan menyediakan luncur air sepanjang 380 kaki, dan karnival trak makanan.

Pengunjung turut berpeluang melihat sendiri model Civic baharu yang akan dilancarkan serta model Honda lain.

Berita Harian X