Jumaat, 6 September 2019 | 3:05pm
Karim Habib

Bekas pereka Infiniti ketuai Pusat Rekaan Kia

SEOUL: Kia Motors Corp, pembuat kereta nombor dua Korea Selatan, pada Jumaat mengumumkan bahawa ia telah melantik bekas pereka Infiniti sebagai ketua pusat rekaannya dalam usaha meningkatkan daya saing jenama itu, lapor agensi berita Yonhap.

Kia, syarikat sekutu Kumpulan Hyundai Motor, berkata Karim Habib akan mengetuai pusat rekaannya di Korea Selatan mulai Oktober.

Karim, yang adalah rakyat Kanada berketurunan Lubnan, akan bertanggungjawab menetapkan strategi rekaan dan gaya kenderaan jenama itu, menurut Kia.

Pereka berusia 49 tahun itu akan bekerja bersama-sama Luc Donckerwolke, yang bertanggungjawab bagi rekaan kenderaan di Kumpulan Hyundai Motor.

Kia berkata, pengalaman luas Habib dalam mereka bentuk kenderaan bagi jenama mewah seperti BMW, Mercedes-Benz dan Infiniti akan membantu syarikat itu.

Hasil kerja Habib untuk Infiniti baru-baru ini termasuk konsep kenderaan elektrik QX Inspiration dan Prototype 10. - BERNAMA

545 dibaca
Berita Harian X