Rabu, 21 Ogos 2019 | 8:44pm
Mazda MX-5 RF 2019.

Mazda MX-5 RF baharu terima penambahaikan

KUALA LUMPUR: Bagi yang menggilai model roadster sport Mazda, anda kini sudah boleh berkira-kira untuk mendapatkan Mazda MX-5 RF yang kini sudah tiba di pasaran Malaysia.

Model terkini ini menerima beberapa penambahanbaikan dan pembaharuan bagi menjadikan Mazda MX-5 RF lebih segar.

Mazda MX-5 RF 2019 kini dilengkapi beberapa ciri yang direka semula seperti omboh, rod penyambung, crankshaft, badan pendikit dan injap ‘intake’, yang mana mampu menghasilkan kuasa 181 kuasa kuda (hp) pada 7,000 rpm dan tork puncak 205 Nm pada 4,000 rpm.

Selain itu, Mazda turut menambah baik bunyi pada enjin dengan mengetepikan material dari struktur dalaman muffler dan melakukan sedikit peningkatan bagi mengurangkan bunyi bising berfrekuensi tinggi.

Lebih lengkap

Peningkatan kecil yang ada pada Mazda MX-5 RF adalah pelarasan bagi stereng teleskopik, kawalan kelajuan dan juga paparan pelbagai maklumat, TFT LCD berwarna 4.6 inci.

Lebih menarik, versi terkini model roadster sport ini juga dilengkapi dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto secara standard menerusi sistem infotainmen Mazda Connect dan juga skrin sesentuh tujuh inci.

Bagaimanapun, rangkaian kuasanya masih dikekalkan dengan enjin 2.0 liter naturally-aspirated SkyActiv-G empat silinder petrol dan pilihan kotak gear automatik dan manual enam kelajuan.

Ciri standard termasuklah lampu utama LED adaptif dengan lampu tinggi matrix, lampu nyalaan siang LED, roda aloi 17 inci dengan kemasan hitam baharu, sensor undur dan kemasukan tanpa kunci dengan pengunci ‘walk-away’.

Ia turut dilengkapi dengan butang penghidup enjin, lampu dan bilah pengelap cermin auto, cermin pandang belakang anti-silau, pendingin hawa auto, upholsteri kulit dan sistem bunyi Bose sembilan pembesar suara.

Info:

Mazda MX-5 RF

* Harga atas jalan tanpa insurans

- MAZDA MX-5 2.0L Automatik : RM260,354

- MAZDA MX-5 2.0L Manual : RM259,154

* Warna pilihan Soul Red Crystal, Machine Gray, Jet Black, Snowflake White Pearl, Eternal Blue, Ceramic Metallic dan Artic White

* Jaminan lima tahun atau 000 km dan pakej servis percuma lima tahun atau 100,000 km

* Empat beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan, bantuan mula mendaki dan amaran ketibaan lorong

Berita Harian X