Khamis, 8 Ogos 2019 | 6:31pm
Majlis pelancaran Primavera S 150, Sprint S 150 dan S125 Carbon Edition.

Naza Premira sasar jualan 1,400 unit Vespa

PETALING JAYA: Naza Premira Sdn Bhd sebagai pengedar rasmi skuter jenama Vespa di Malaysia menyasarkan jualan 1,400 unit tahun ini untuk pasaran tempatan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings, Ramasamy Devaraju, berkata setakat ini pihaknya berjaya menjual 550 unit skuter berkenaan.

“Vespa yang sesuai untuk pengguna aktif dan bergaya, kini tampil dengan barisan model terbaharu yang menampilkan rekaan lebih segar dan menarik.

“Ia secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan jumlah jualan khususnya bagi segmen ini yang berjaya merekodkan prestasi positif saban tahun,” katanya ketika pelancaran tiga model baharu Vespa S di sini, hari ini.

Tiga model berkenaan adalah Primavera S 150, Sprint S 150 dan S125 Carbon Edition untuk pasaran tempatan.

Sejak menjadi pengedar rasmi Vespa di negara ini pada 2010, Naza Premira berjaya menjual 12,000 unit dengan perkhidmatan selepas jualan disediakan di 22 pusat jualan dan servis di seluruh negara.

Barisan model terbaharu itu masih mengekalkan DNA Vespa dengan elemen lebih menarik sesuai untuk peminat jenama skuter itu.

Untuk model Vespa Primavera S 150, ia kini diberi sentuhan lebih segar, bergaya dan sporty dengan pelindung tepi, rim dan hon warna kelabu serta rim aloi 12 inci lima jejari dua ton yang dikuasakan enjin 150cc i-Get dijual pada harga RM16,400 serta tiga pilihan warna baharu.

Vespa Sprint S 150 pula tampil sedikit berbeza dalam rangkaian varian Sprint dengan kerangka keluli dan yang juga pertama dalam kelasnya dengan dua rim bersaiz 12 inci hitam serta pelana corak baharu.

Ia turut dilengkapi corak grafik hitam dan merah serta enjin 150 cc i-Get mesra alam dijual pada harga RM17,400.

Manakala, S125 Carbon Edition yang diinspirasi daripada model Vespa tahun 70-an tampil lebih kreatif dan dinamik dengan sentuhan elemen karbon dengan perekat S merah pada rim 11 inci, bendera “Tricolore” Itali , lampu hadapan petak dan enjin 125cc i-Get dijual pada harga RM12,500.

Semua rangkaian model baharu ini boleh didapati di semua pengedar sah Vespa di seluruh negara.

Orang ramai juga boleh berkunjung ke pusat membeli-belah Sunway Pyramid sehingga 11 Ogos ini untuk melihat kenderaan berkenaan dengan lebih dekat.

128 dibaca
Berita Harian X