Selasa, 23 Julai 2019 | 4:20pm
Nissan LEAF serba baharu untuk pasaran Malaysia. - NSTP/Roslin Mat Tahir

Nissan Leaf serba baharu dilancar

SHAH ALAM: Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) melancarkan kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya, Nissan LEAF serba baharu untuk pasaran Malaysia.

Model import sepenuhnya (CBU) dari Jepun itu ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans RM188,888.

Pengarah Jualan dan Pemasaran ETCM, Christopher Tan, berkata ditawarkan dalam satu varian premium, Nissan LEAF serba baharu mempunyai reka bentuk kontemporari, menawarkan jarak pemanduan yang jauh dan seronok dipandu.

“Nissan LEAF serba baharu adalah varian elektrik sepenuhnya dan sifar emisi. Ia ikon ‘Nissan Intelligent Mobility’ yang menjadi pendekatan syarikat untuk mengubah bagaimana kereta dikuasakan, dipandu dan diintegrasikan ke dalam masyarakat,” katanya ketika melancarkan model itu di sini, hari ini.

Tiga aspek Nissan Intelligent Mobility dapat dilihat pada Nissan LEAF serba baharu iaitu Kuasa Pintar Nissan, Pemanduan Pintar Nissan dan Integrasi Pintar Nissan.

Nissan LEAF menggunakan rangkaian kuasa elektrik yang mampu menjana kuasa maksimum 150PS (110kW) dan tork 320Nm dengan menawarkan pecutan serta-merta 0-100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 7.9 saat dan pecutan maksimum 155km/j yang dihadkan secara elektronik.

Selain itu, pek bateri Nissan LEAF diletakkan pada bahagian bawah casis untuk memberi titik graviti lebih rendah seterusnya memberikan pengendalian dan kestabilan mantap ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.

Nissan LEAF serba baharu yang dilengkapi bateri lithium-ion baharu berkapasiti 40kWh yang menawarkan jarak pemanduan sejauh 311 kilometer (km) dengan satu caj penuh, berdasarkan kepada ujian kitaran ECE R101 New European Driving Cycle (NEDC).

Pengecaj kenderaan elektrik adalah kalis cuaca dan direka khas untuk melindungi kenderaan serta manusia daripada terkena renjatan elektrik.

Nissan LEAF serba baharu hadir dengan 6.6kW (Type1) Wall Box Charger sebagai ciri standard yang akan mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk dicaj sepenuhnya dengan tidak perlu menlawat ke stesen minyak.

Nissan LEAF dilengkapi ciri e-Pedal yang pertama di dunia, yang ternyata mengubah cara manusia memandu yang membolehkan pemandu untuk bermula, memecut, memperlahankan kenderaan dan berhenti menggunakan hanya satu pedal dengan cara meningkat atau mengurangkan tekanan ke atas pendikit. 

Berita Harian X