Rabu, 19 Jun 2019 | 6:13pm
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda, Keiichi Yasuda (tiga dari kanan) dengan Pengerusi Boon Siew Honda, Datuk Seri Tan Hui Jing (tiga dari kiri) pada pelancaran produk terkini Boon Siew Honda sempena perayaan Aidilfitri di Glasshouse, Seputeh. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

BSH lancar tiga model baharu

KUALA LUMPUR: Boon Siew Honda (BSH), secara rasminya melancarkan Honda CBR500R, CB500F dan CB500X ke pasaran domestik.

Bagi versi naik taraf 2019 itu ditawarkan pada harga disyorkan tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran RM34,499 bagi model CBR500R, RM33,999 (CB500F) dan RM36,099 (CB500X).

Semua model baharu itu ditawarkan dengan fungsi sistem brek anti kunci (ABS), suspensi belakang baharu, assist/slipper clutch dan lampu LED penuh.

Selain itu, fungsi baharu yang terdapat pada tiga model versi 2019 itu adalah instrumen LCD moden dengan kedudukan gear petunjuk shift-up yang ditetapkan pada 8,500 rpm tetapi boleh dilaras antara 5-8,750 rpm.

Honda CBR500R, CB500F dan CB500X menggunakan enjin silinder berkembar cecair penyejuk selari lapan injap yang mampu menghasilkan 37kW pada 8,500 rpm dan tork maksimum 45Nm pada 6,500 rpm.


Produk terbaru Boon Siew Honda di Glasshouse, Seputeh. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Semua model terkini Honda itu menggunakan kerangka utama keluli padu diamond-tube yang memberikan keseimbangan kukuh dan mengurangkan gegaran.

Kedudukan dan bentuk enjin turut membolehkan pengambilan selekoh lebih tangkas dan optimum menerusi pengagihan berat depan dan belakang bagi memastikan kestabilan jentera.

Honda CBR500R ditawarkan dengan tiga pilihan warna iaitu Grand Prix Red, Max Axis Gray Metallic dan Pearl Metalloid White.

Sementara itu, Honda CB500F dan CB500X pula hadir dengan tiga warna iaitu Grand Prix Red, Mat Gun Power Black Metallic dan Pearl Metalloid White.

677 dibaca
Berita Harian X