Jumaat, 3 Mei 2019 | 11:30pm
Selesa, jimat petrol, padat peralatan teknologi terkini. - NSTP/Asyraf Hamzah
Tempat duduk yang empuk serta skrin penghadang angin boleh secara automatik. - NSTP/Asyraf Hamzah

Forza 300 atasi jangkaan

MOTOSIKAL skuter bersaiz sederhana semakin mendapat perhatian pengguna di negara ini. Ini kerana ia mudah ditunggang dan menjadi satu penyelesaian praktikal untuk bergerak dari lokasi ke lokasi dengan mudah.

Boon Siew Honda baru-baru memberi peluang BH Auto mencuba Honda Forza 300, iaitu model yang dikemaskini dari model popular sebelumnya iaitu NSS300.

Skuter Maxi ini meskipun secara semula jadinya bukanlah sebuah motosikal pengembaraan, namun enjin 1-silinder, 4-injap, 279cc ini meluncur selesa di lebuh raya, di jalan raya dalam serta luar bandar. Penjanaan kuasa maksimum adalah 24.8hp pada 7000rpm, manakala tork 27.25Nm (5750rpm).

Meskipun seperti kelaziman skuter daya pecutan sedikit mendatar selepas kelajuan melebihi 100 kilometer sejam (kmh), namun dengan kelajuan maksimum mencecah lebih 150 kmh, prestasinya adalah di luar jangkaan penulis.

Selesa dan jimat

Ia juga amat selesa. Tempat duduk yang empuk; skrin penghadang angin boleh secara automatik; tangki petrol yang besar 11.5 liter untuk jarak perjalanan melebihi 350 km; agak ringan 182 kilogram; ruang simpanan di bawah tempat duduk yang luas, boleh memuatkan sehingga dua topi keledar dan turut dilengkapi Sistem Kawalan Cengkaman (TRC), menjadi antara daya tarikan pada model ini.

Forza 300 ini juga amat jimat dari segi penggunaan petrol. Pengalaman penulis adalah kira-kira 31 kilometer seliter (kpl) walaupun sering memulas pendikit ke tahap maksimum.

Skuter ini juga padat dengan peralatan teknologi tinggi terkini. Penambahan sistem kawalan cengkaman atau Honda Selectable Torque Control (HSTC) buat julung kalinya pada skuter Honda, walaupun nampak agak keterlaluan dengan enjin berkuasa 25 bhp, namun ia adalah sesuatu yang dikira perlu ada pada motosikal yang direka untuk tunggangan dalam pelbagai situasi keadaan cuaca.

HSTC mampu mengawal dan melaraskan kelajuan roda depan dan belakang secara berterusan, mengambil kira nisbah gelincir dan mengekang tork enjin bagi mengekalkan cengkaman jentera.

Mudah ditunggang

Speedometernya juga lengkap, dengan takometer dan ‘rev-counter dials flanking a digital display’. Paparan maklumat lain adalah termasuk odometer, jarak tunggangan baki bahan api, purata penggunaan minyak, suhu ambien, termometer dan sensor bateri.

Forza 300 turut dilengkapi rim aluminium 15-inci pada roda depan dan 14-inci di belakang. Fork teleskopik 33mm, manakala spring penyerap hentakan berkembar menawarkan tujuh tahap pelarasan prabeban.

Brek cakera tunggal 256mm dipasangkan pada roda depan dan 240mm di belakang. Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) 2-saluran dilengkapi pada model standard yang ditunggang uji ini.

Sementara itu, casisnya dibuat lebih ringan 12 kg dari versi sebelumnya dan memiliki wheelbase yang lebih pendek 25 mm, membuat ia boleh ditunggang dengan lebih lincah.

Kesimpulannya, Forza 300 adalah Honda, iaitu jenama yang sinonim dengan rekaan baik, mudah dan seronok ditunggang.

Spesifikasi Honda Forza 300

Harga asas: RM30,727.28

Enjin: 4-lejang, 4-injap sejukan cecair

Kapasiti: 279cc

Kuasa: 24.8 hp @ 7,000 rpm

Tork: 27.2 Nm @ 5,750 rpm

Kapasiti minyak enjin: 1.7 liter

Sistem bahan api: PGM-FI

Tangki petrol: 11.5 liter

Tranmisi: CVT

Dimensi casis (LxWxH): 2140 mm x 755 mm x 1470 mm

Jarak roda: 1510 mm

Ketinggian: 780 mm

Jarak kelegaan tanah: 135 mm

Berat: 182 kg

Suspensi depan: 33 mm fork telescopic

Suspensi belakang: Twin shock

Saiz roda depan: 15 inci

Saiz roda belakang: 14 inci

Saiz tayar depan: 120/70R15

Saiz tayar belankang: 140/70R14

Brek: ABS 2-saluran.

Berita Harian X