Jumaat, 3 Mei 2019 | 11:08pm
Model All New Toyota Yaris pada majlis pelancarannya di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Toyota Yaris kembali ke pasaran

SELEPAS kali terakhir dijual antara tahun 2006 dan 2012, Toyota Yaris akhirnya membuat penampilan semula di negara ini bagi mengubati kerinduan peminat kenderaan hatchback itu.

Berbeza dengan model sebelum ini yang dibawa masuk secara import sepenuhnya (CBU) dari Jepun, Toyota Yaris yang dilancarkan oleh pengimport dan pengedar sah eksklusif kenderaan Toyota di Malaysia, UMW Toyota Motor (UMWT) itu kini adalah hatchback pemasangan tempatan (CKD) yang pertama bagi UMWT. 

Ia juga adalah model kedua yang dipasang di kilang baharu UMWT di Bukit Raja, Klang, Selangor selepas model Vios.

Presiden UMWT, K Ravindran, berkata sebagai tambahan terkini kepada barisan kenderaan Toyota, Yaris menjadi bukti sokongan syarikat terhadap usaha kerajaan untuk melihat peningkatan dalam kandungan serta aktiviti pengeluaran kenderaan tempatan. 

"Kini kita melihat ramai pelanggan, terutama dari generasi muda, yang menggemari rekaan hatchback kerana ia memberikan imej sporty.

“Melihat corak ini, kami mengambil keputusan untuk memperkenalkan semula Yaris ke dalam barisan kenderaan yang ditawarkan,” katanya pada sidang media pelancaran model berkenaan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Penarafan lima bintang ASEAN NCAP

Model hatchback segmen B itu ditawarkan dengan tiga varian iaitu Yaris 1.5G, Yaris 1.5E dan Yaris 1.5J yang masing-masing dijual pada harga atas jalan tanpa insurans RM83,888, RM76,888 dan RM70,888.

Toyota Yaris serba baru dilengkapi enjin 2NR-FE 1.5 liter, empat-silinder DOHC Dual VVT-i yang ditala untuk memberikan penjimatan dan penyaluran kuasa serta tork lancar.Semua varian yang menggunakan transmisi Sport Sequential Shiftmatic tujuh kelajuan itu juga turut mempunyai mod manual bagi membolehkan pemandu memilih kedudukan gear dalam sistem CVT bagi mendapatkan maklum balas yang lebih pantas. 

Model terbaru Toyota yang turut menerima penarafan lima bintang ASEAN NCAP didatangkan dengan ciri keselamatan termasuk tujuh beg udara SRS, kawalan kestabilan kenderaan (VSC) dengan kawalan cengkaman (TRC) serta bantuan mula mendaki (HAC).

Untuk menyerlahkan lagi imej sporty yang dimilikinya, lima warna menonjol tersedia untuk dipilih, termasuk warna khas Citrus Mica Metallic.

Pilihan warna lain ialah Super White II, Red Mica Metallic, Attitude Black dan Silver Metallic.

INFO

• Harga atas jalan tanpa insurans

- Toyota Yaris 1.5G - RM83,888

- Toyota Yaris 1.5E - RM76,888

- Toyota Yaris 1.5J - RM70,888

566 dibaca
Berita Harian X