Jumaat, 3 Mei 2019 | 11:03pm

Cukup bergaya, lebih praktikal

JIKA disebut mengenai Porsche, pastinya ramai akan mengetahui reputasi mengagumkan yang dibawa oleh jenama dari Jerman itu.

Bermula dari reka bentuknya yang sporty hinggalah ke kelengkapan teknologi serta pemanduan mantap yang didatangkan bersamanya, jenama terkemuka itu terus menempatkan dirinya dalam kalangan kenderaan premium mewah di seluruh dunia.

Baru-baru ini, BH Auto diberi kesempatan untuk memandu uji Panamera 4 E-Hybrid Sport Turismo, iaitu model mesra alam antara model wagon yang diperkenalkan di pasaran tempatan sebelum ini.

Melihat kepada reka bentuknya, dimensi model ini adalah lebih kurang sama dengan versi sedannya dengan panjang keseluruhan 5,049 mm, lebar 1,037 mm dan jarak roda 2,950 mm, tetapi ia tinggi sedikit berbanding Panamera standard dengan 1,428 mm iaitu tambahan sebanyak 5 mm.

Selain itu, model ini juga mempunyai spoiler belakang aktif yang boleh dilaras kepada tiga peringkat bagi menghasilkan daya tekanan kebawah tambahan sebanyak 50 kilogram pada gandar belakang.

Apabila mencapai kelajuan 170 kilometer sejam (km/j), spoiler itu akan dilaras secara automatikl pada posisi 'performance' dengan sudut tambahan satu darjah.

Fungsinya turut diaktifkan pada kelajuan 90km/j apabila pemandu memilih mod pemanduan Sport atau Sport Plus.

Konfigurasi tempat duduk 4+1

Dari segi ruang, model ini menawarkan konfigurasi tempat duduk 4+1 yang bermaksud ia sememangnya selesa untuk membawa 4 orang termasuk pemandu, namun penumpang kelima mungkin akan mengalami kesukaran untuk duduk di ruang tengah (belakang).

Ia kerana, tempat duduk belakang sebenarnya direka secara individu untuk keselesaan penumpang yang duduk di kedua-dua sisi. Disebabkan ia adalah sebuah model wagon, ruang but yang ditawarkan boleh dikatakan cukup besar.

Varian E-Hybrid ini mempunyai kapasiti but 425 liter dan boleh ditambah sehingga 1,295 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipatkan.

Kelajuan maksimum 275 km/j

Dalam pada itu model ini tampil dengan unit janakuasa hibrid plug-in, menggabungkan enjin 2.9 liter V6 dari varian Panamera 4.

Disertakan motor elektrik berkuasa 136 PS pada 400 Nm, sekali gus membolehkan ia menghasilkan kuasa keseluruhan 462 PS pada 700nm.

Ini membolehkan wagon itu melakukan pecutan 0 hingga 100 km/j pada catatan masa 4.6 saat dan mencapai kelajuan maksimum 275 km/j.

Semasa memandu uji model ini, penulis mendapati model ini secara automatik akan berada dalam mod pemanduan E-Power (elektrik sepenuhnya).

Bagaimanapun, pemandu boleh mengubah kepada mod pemanduan lain iaitu Hybrid, Sport dan Sport Plus mengikut kehendak sendiri.

Bagi penulis, mod pemanduan Hybrid adalah pilihan paling sesuai untuk pemanduan harian, tetapi sekiranya ingin merasai kuasa penuh sebuah jentera sport Porsche, pastinya mod pemanduan Sport dan Sport Plus akan pilihan yang lebih tepat.

4 mod pemanduan

Perbezaan mod Sport dan Sport Plus berbanding E-Power dan Hybrid adalah ia menggunakan kuasa penuh daripada kuasa enjin pembakaran, sekali gus memberikan bunyi ngauman sebuah jentera sport.

Walaupun penulis tidak sempat merasai kuasa maksimum wagon sport ini, pemanduan di kawasan bandar sememangnya cukup selesa dengan hiasan dalaman premium ditambah dengan kelengkapan teknologi yang ada bersamanya seperti skrin sentuh 12.3 inci yang dilengkapi penghubung Apple Play membuatkan pemanduan lebih seronok.

Pada mulanya, penulis agak kekok dengan tetapan yang terdapat jentera itu, tetapi ia hanya mengambil masa beberapa minit untuk membiasakan diri dengannya.

Bagi mereka inginkan sebuah jentera sport yang boleh memuatkan barangan sekeluarga serta mempunyai ciri penjimatan minyak, pastinya Panamera 4 E-Hybrid Sport Turismo antara model yang harus dipertimbangkan.

INFO

• Enjin - 2.9 liter V6 digabungkan motor elektrik berkuasa

• Tempat duduk - 4+1

• Kelajuan maksimum: 275 km/j* Pecutan 0-100 km/j 4.6 saat

306 dibaca
Berita Harian X