Jumaat, 3 Mei 2019 | 4:38pm
Naib Presiden Jualan dan Pemasaran MBM, Mark Raine memperkenalkan lima varian baharu dalam koleksi kereta impian Mercedes-AMG di Litar Antarabangsa Sepang. NSTP/Rosela Ismail.

Varian baharu Mercedes-AMG untuk pasaran Malaysia diperkenal

SEPANG: Mercedes-Benz Malaysia (MBM) memperkenalkan lima varian baharu dalam koleksi kereta impian Mercedes-AMG untuk pasaran Malaysia.

Tiga varian baharu merangkumi Mercedes-AMG C 63 S yang ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans RM768,888; Mercedes-AMG C 63 S Coupé (RM820,888); Mercedes-AMG GT 63 S 4MATIC+ (RM1,798,888); Mercedes-AMG GT 53 4MATIC+ (RM1,298,888); dan Mercedes-AMG GT 43 4MATIC+ (RM1,298,888).

Mercedes-AMG C 63 S adalah asas utama Mercedes-AMG menerusi ciri utamanya iaitu enjin lapan silinder berkuasa, bahagian identifikasi jenama AMG yang tidak dapat disangkal.

Generasi baharu Mercedes-AMG C 63 S dan C 63 S Coupé adalah gabungan dinamik pemanduan, reka bentuk ekspresif dan bunyi enjin yang tersendiri.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran MBM, Mark Raine, berkata generasi baharu C 63 S adalah asas kepada portfolio AMG yang menggabungkan pemanduan pemanduan yang sempurna.

“Kedua-dua jentera menggunakan enjin empat liter Biturbo lapan silinder yang sangat berkuasa dan memberikan bunyi yang tidak dapat digambarkan,” katanya ketika melancarkan lima varian Mercedes-AMG di sini, hari ini.

Enjin biturbo V8 yang dinamik digunakan dua varian itu menghasilkan 510 kuasa kuda (hp) dan tork 700 Nm, manakala kelajuan tertinggi adalah 290 kilometer sejam (km/j) dan pecutan 0 hingga 100 km/j dalam masa empat saat bagi C 63 S dan 3.9 saat (C 63 S Coupé).

Penggunaan AMG SPEEDSHIFT MCT 9-kelajuan juga dibantu oleh mod pemanduan AMG DYNAMIC SELECT iaitu "Comfort", "Sport", "Sport +", "Slippery" dan "Individual" serta "RACE ".

226 dibaca
Berita Harian X