Ahad, 17 March 2019 | 5:42pm
DATUK Zainal Abidin Ahmad merasmikan acara pelepasan Konvoi Perodua Aruz TransBorneo di Kuching, Sarawak.

Perodua Aruz dijangka laris di Malaysia Timur

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) menyasar model terbaharunya, Aruz, menjadi kenderaan utiliti sukan (SUV) terlaris di Malaysia Timur berikutan wilayah berkenaan di dominasi pasaran kenderaan dalam kategori berkenaan.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata pihaknya mahu mengembangkan lagi bahagian pasaran di Malaysia Timur dari 40 peratus ketika ini yang mana Aruz akan menerajui perkembangan pasaran berkenaan.

Beliau berkata, sejak dilancarkan pada Januari lalu, sebanyak 4,000 unit Aruz sudah diserahkan kepada pemiliknya daripada 14,000 tempahan dari seluruh negara setakat ini.

“Sambutan menggalakkan daripada rakyat Malaysia mendorong kami untuk bekerja dengan lebih keras dalam memperbaiki tempoh masa penghantaran.

“Malah, kami juga berharap untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada semua pelanggan setia Perodua,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Zainal Abidin merasmikan acara pelepasan Konvoi Perodua Aruz TransBorneo di Kuching, Sarawak yang mana enam unit Aruz akan memulakan penjelajahan ke Tawau, Sabah.

Penjelajahan itu membabitkan jarak sejauh 1,500 kilometer bermula dari 16 hingga 22 Mac ini.

Pasukan konvoi juga akan singgah di bandar utama seperti Sibu, Bintulu, Miri, Kota Kinabalu, Ranau dan Sandakan bagi bertemu dengan komuniti dan pihak berkuasa tempatan memperkenal serta memberi pengalaman pemanduan SUV baharu Perodua.

Zainal Abidin berkata, dengan ketinggian 220 milimeter dari aras tanah memberikan Aruz penglihatan keseluruhan yang baik buat pemandu dan menawarkan pemanduan selesa dengan kemampuan merentasi keadaan jalan lasak atau berlopak dengan mudah.

“Tiada lagi kebimbangan tentang jarak stesen petrol seterusnya kerana Aruz adalah Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) yang diperakui kerajaan dengan penggunaan bahan api yang terbaik dalam kelasnya.

“Ia menjadikan Aruz sangat sesuai untuk Malaysia Timur yang mana model yang memberi nilai terbaik ini ditawarkan pada harga RM74,900 untuk varian X dan RM79,900 untuk varian AV,” katanya.

485 dibaca
Berita Harian X