Selasa, 12 Februari 2019 | 12:49pm

Perodua serah 100,000 Myvi sejak November 2017

KUALA LUMPUR: Perodua mencatat satu lagi pencapaian penting apabila menyerahkan 100,000 unit Perodua Myvi generasi ketiga, sejak November 2017.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin, berkata sejak pelancaran Perodua Myvi generasi ketiga pada November 2017, pengeluar kereta nasional kedua itu menyerahkan lebih 100,000 unit dengan penghantaran purata lebih 1,560 unit seminggu.

"Maklum balas pelanggan sebahagian besarnya positif, dengan ramai meminati Myvi yang bergaya, praktikal, mudah dipandu, kos pemilikan penyelenggaraan yang rendah, ruang luas, selain ciri-ciri canggih yang biasanya hanya terdapat pada kereta yang lebih premium," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Zahari berkata, Perodua Myvi adalah model paling berjaya dalam sejarah dengan Myvi asal dilancarkan pada 2005 ketika mana pasaran dikuasai segmen sedan.

"Menjelang 2013, ia telah mengatasi jualan Kancil (708,000 unit dari 1994 hingga 2009) dan setakat ini, kami menjual hampir 1.1 juta Myvi secara keseluruhannya," katanya.

Tempahan bagi Myvi generasi ketiga mencecah jumlah terkumpul 150,000 unit dan Perodua terus berusaha keras memenuhi pesanan sebaik mungkin, katanya.

Perodua mengakhiri 2018 dengan menjual rekod 227,243 kereta, menjadikannya pengeluar kereta terkemuka Malaysia untuk 13 tahun berturut-turut.

Syarikat itu menjual hampir 3.5 juta kereta sejak tahun 1994.

162 dibaca
Berita Harian X