Khamis, 7 Februari 2019 | 7:16pm

Picanto GT-Line masuk pasaran tempatan

KUALA LUMPUR: Naza Kia Malaysia, pengedar rasmi kenderaan KIA di Malaysia, hari ini memperkenalkan Picanto GT-Line untuk pasaran tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif Naza Corporation Holdings, Datuk Samson Anand George, berkata varian baharu itu sekali gus meningkatkan tawaran terhadap barisan model Picanto yang mana ia tampil dengan gaya yang lebih agresif menerusi kemasan warna baharu pada body kit, gril tiger nose di hadapan, serta dua muncung ekzos.

“Selepas mendapat sambutan untuk model Kia Picanto 1.2 EX tahun lalu, Naza Kia kini memperkenalkan varian yang lebih sporty untuk kenderaan segmen A ini.

“Kami yakin varian baharu ini akan terus menerima sambutan di Malaysia berikutan penampilannya yang menarik perhatian digabungkan dengan tawaran prestasi mantap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Picanto GT-Line itu dilengkapi rim 16 inci, lampu LED nyalaan siang dan lampu kabus, antena shark-fin serta kemasukan tanpa kunci.

Selain itu, ia juga didatangkan skrin sentuh tujuh inci yang dilengkapi Apple CarPlay dan Android Auto yang mana ia boleh dihubungkan pada telefon pintar, serta menggunakan roda stereng yang rata di bahagian bawah, kamera belakang, pengecas telefon pintar tanpa wayar, port USB dan Kawalan Suhu Automatik Sepenuhnya (FATC).

Dari aspek keselamatan, Picanto baharu itu menampilkan struktur badan yang diperbuat daripada Keluli Berketahanan Tinggi Termaju (AHSS) serta dilengkapi enam beg udara.

Malah, ia juga mempunyai ciri keselamatan aktif termasuk sistem Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM), dengan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), fungsi Brek Kecemasan Autonomi (AEB) dan Kawalan Mula Mendaki (HAC).

Menurut Naza Kia, Picanto GT-Line dijual pada harga RM57,888 (tanpa insurans) dan ditawarkan menerusi tiga pilihan warna iaitu Titanium Silver, Clear White dan warna eksklusif Aurora Black Pearl.

356 dibaca
Berita Harian X