Khamis, 7 Februari 2019 | 5:18pm

Lebih banyak model CKD dikeluarkan tahun ini

KUALA LUMPUR: Pasaran automotif tempatan bakal melalui fasa penting dalam pembentukan industri lebih berdaya saing menerusi pengenalan lebih banyak model pemasangan tempatan (CKD) tahun ini.

Pemerhati pasaran menyifatkan langkah pelbagai jenama asing memperluaskan barisan pengeluaran akan memacu pengeluaran model CKD di Malaysia.

AmInvestment Bank Bhd dalam nota penyelidikan, berkata UMW Toyota Motor memulakan langkah agresif bagi mengembalikan kedudukan utamanya dalam segmen bukan nasional.

Katanya, tahun ini, UMW Toyota menjangkakan pertumbuhan jualan 14 peratus kepada 75,000 unit daripada 67,000 unit tahun lalu dengan 40 peratus dari keseluruhan jualan disumbangkan oleh model Vios.

“Kami menetapkan sasaran pertumbuhan lebih rendah iaitu lapan peratus kepada 71,000 unit dengan mengambil kira cabaran Toyota untuk membangunkan dan mengekalkan momentum pertumbuhan,” katanya.

Mengulas lanjut, AmInvestment berkata, kilang pengeluaran kedua UMW Toyota memulakan operasi tahun ini bagi menghasilkan Vios dan Yaris yang menjadi model hatchback yang akan diperkenalkan pada suku kedua tahun ini.

“Bukit Raja akan mengeluarkan kapasiti permulaan iaitu 50,000 unit setahun sementara kilang di Shah Alam kembali kepada satu shif berbanding dua syif sebelum ini dengan pengeluaran 75,000 unit setahun.

“Kami memuji langkah UMW Toyota untuk mengendalikan kedua-dua kilang dengan kadar yang praktikal dan untuk mengelakkan lebih penawaran di pasaran.

“Kami teruja dengan prospek jangka panjang pemasangan tempatan untuk lebih banyak model. Khususnya, versi CKD C-HR akan menjadi pemangkin kukuh.

“C-HR menyaksikan penerimaan yang agak kukuh tahun lalu dengan menyumbang tujuh peratus kepada jualan domestik Toyota membabit 4,400 unit. Dengan pengeluaran model CKD, harganya akan menyamai beberapa model lain termasuk Honda HR-V dan Mazda CX-5,” katanya.

Mengenai Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), AmInvestment menjelaskan, firma penyelidikan itu menjangkakan pertumbuhan jualan 1.5 peratus tahun ini, hampir sama dengan sasaran PERODUA iaitu 1.7 peratus.

“Sasaran PERODUA ini akan disokong oleh penerimaan kukuh model kenderaan utiliti sukan (SUV), Perodua Aruz dan Myvi,” katanya.

275 dibaca
Berita Harian X