Isnin, 4 Februari 2019 | 3:32pm
PRODUA Aruz. - Foto NSTP/Mahzir Mat Isa

Harga ARUZ kekal - PERODUA

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) menegaskan bahawa pihaknya akan mengekalkan harga Perodua Aruz dan spekulasi berlaku peningkatan harga bagi model berkenaan adalah tidak benar.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin, berkata pihaknya menyangkal spekulasi bahawa akan berlaku peningkatan harga Perodua Aruz.

“Saya ingin menjelaskan bahawa kami akan mengekalkan harga Aruz yang bernilai RM72,900 untuk varian X dan RM77,900 (Advance)," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, PERODUA sudah mencatatkan jualan lebih 20,100 kenderaan pada bulan pertama tahun ini termasuk 1,025 unit Aruz telah didaftarkan pada akhir Januari lalu.

"Walaupun berlaku sedikit kelewatan dalam proses pendaftaran Aruz, kami berjaya memaksimumkan penyerahan Aruz dalam jangka masa singkat demi memanfaatkan cuti perayaan Tahun Baru Cina," katanya.

Katanya, pihak PERODUA juga masih lagi menunggu jumlah rasmi penguasaan pasaran daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

“Namun, kami menganggarkan bahagian pasaran PERODUA adalah sebanyak 41.7 peratus pada Januari 2019 dan pertumbuhan sebanyak 9.2 peratus daripada 18,400 unit kenderaan Perodua yang dijual pada Disember 2018," katanya.

Zahari berkata, berbanding tempoh sama tahun lalu, PERODUA telah menjual 20,100 unit atau 13.6 peratus lebih banyak kenderaan pada Januari tahun ini berbanding 17,700 unit yang dicatatkan pada Januari 2018.

"Walaupun Aruz telah mendapat respon yang baik dengan tempahan sebanyak 8,000 unit setakat ini, model-model kami yang lain juga turut diterima baik dengan lebih daripada 19,000 unit telah didaftarkan pada Januari.

“Permintaan yang tinggi untuk Aruz telah meningkatkan tempoh menunggu. Kami akan berusaha melakukan yang terbaik untuk mengurangkan tempoh menunggu," katanya.

Pada masa ini, jelas beliau, komposisi pesanan bagi Aruz adalah 85 peratus untuk varian Advance (harga pada RM77,900 tanpa insuran) dan baki 15 peratus adalah untuk varian X (harga pada RM72,900 tanpa insuran).

Bagi permintaan model-modelnya yang lain, Zahari berkata, Perodua Myvi masih mengungguli jualan dengan lebih 8,400 unit dijual pada Januari lalu.

Beberapa model lain keluaran PERODUA juga turut mengungguli segmen masing-masing dengan Axia, Bezza dan Alza masing-masing dijual pada 5,500 unit, 3,400 unit dan 1,600 unit pada Januari.

481 dibaca
Berita Harian X