Isnin, 4 Februari 2019 | 2:26pm

Perodua jual 20,100 kenderaan Januari

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) menjual kira-kira 20,100 kenderaan pada bulan pertama 2019, termasuk 1,025 unit kenderaan utiliti sukan yang baru dilancarkan, Aruz, pada hari terakhir Januari.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin, berkata walaupun agak lewat mendaftarkan Aruz, pembuat kereta nasional kedua itu berjaya memaksimumkan penyerahan model itu dalam masa singkat demi memanfaatkan cuti perayaan Tahun Baharu Cina yang panjang.

"Sementara menantikan angka rasmi dari Persatuan Automotif Malaysia (MAA), PERODUA menganggarkan penguasaan pasaran kenderaannya bagi Januari 2019 sebanyak 41.7 peratus, yang adalah pertumbuhan 9.2 peratus daripada 18,400 kenderaan dijual pada Disember 2018," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jualan bagi Januari 2019 adalah 13.6 peratus lebih tinggi berbanding 17,700 unit yang dijual pada bulan yang sama tahun lalu.

Walaupun Aruz diterima dengan baik dengan 8,000 tempahan setakat ini, Zahari berkata model lain juga turut mendapat maklum balas yang baik, dengan lebih daripada 19,000 unit didaftarkan pada Januari.

"Permintaan tinggi ke atas Aruz meningkatkan tempoh menunggu, terutama bagi varian AV. Kami melakukan yang terbaik untuk mengurangkan tempoh menunggu ini," katanya.

Berhubung permintaan ke atas model lain, Zahari berkata jualan amat memberangsangkan dengan Myvi masih mengungguli jualan dari segi jualan dengan lebih 8,400 unit dijual pada Januari manakala model lain mendahului segmen masing-masing, dengan jualan melebihi 5,500 unit, 3,400 unit dan 1,600 unit masing-masing bagi Axia, Bezza dan Alza. - BERNAMA

Berita Harian X