Rabu, 23 Januari 2019 | 12:28pm
PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad

Perodua sasar jualan meningkat empat peratus

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menyasarkan peningkatan jualan sebanyak empat peratus kepada 231,000 unit tahun ini berbanding 227,243 unit pada 2018.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad, pihaknya optimis mampu mencapai sasaran itu didorong oleh jualan berterusan Myvi dan permintaan terhadap model kenderaan utiliti sukan (SUV) terbaharunya, Aruz.

Zainal Abidin berkata, jualan Perodua pada 2018 juga adalah yang tertinggi dalam sejarah dan pihaknya teruja dengan perkembangan jualan pada tahun ini.

"Sasaran Perodua ini dalam meningkatkan jualan bukan saja akan mengukuhkan jenama serta penguasaan pasaran tetapi turut membantu perkembangan industri automotif negara.

"Tahun lalu, Myvi adalah model terlaris kami sebanyak 82,122 unit dijual daripada 117,844 unit tempahan. Malah sejak pelancaran Myvi baharu itu pada November 2017, ia mencatatkan sebanyak 147,000 tempahan dengan 91,500 unit dijual," katanya ketika Majlis Makan Tengahari Tahun Baru Cina bersama media di sini, hari ini.

Zainal Abidin berkata, model Axia, Bezza dan Alza kekal ombor satu dalam segmen masing-masing dengan jualan sebanyak 70,821, 49,911 dan 24,389 unit.

Sementara itu, katanya sambutan terhadap Aruz adalah positif apabila menerima 5,700 unit tempahan sejak 3 Januari lalu.

101 dibaca
Berita Harian X